Penumpang tren khas MySawasdee naik bas ke Hatyai

Penumpang tren khas MySawasdee naik bas ke Hatyai

TANGKAP layar promosi tren khas MySawasdee December Mania oleh KTMB yang laris apabila kesemua 1,200 tiket berjaya dijual hanya dalam masa 30 minit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 400 penumpang tren khas MySawasdee untuk perjalanan pada 9 Disember ini akan menaiki bas dari Stesen Padang Besar di Thailand menuju ke Hatyai.

Menurut hantaran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam laman sosial rasminya, perjalanan tren ini dari KL Sentral pada tarikh itu diteruskan mengikut jadual ditetapkan.

“Bagaimanapun terdapat perubahan pergerakan di sempadan apabila mereka menaiki bas khas dari Stesen Padang Besar, Thailand terus ke Stesen Hatyai,” jelas operator itu.

Meskipun syarikat rel tempatan itu tidak memberikan sebarang alasan, pertukaran ini dipercayai susulan kes dua insiden letupan bom di landasan kereta api di Sadao, Thailand.

Kejadian terbaharu pada semalam itu menyaksikan tiga staf State Railways of Thailand (SRT) maut manakala empat lagi pekerja agensi kereta api negara tersebut pula cedera.

Mangsa ketika itu sedang bertugas untuk mengalihkan 20 buah gerabak tren barang sarat kepingan getah yang tergelincir ekoran kes letupan pertama pada Sabtu minggu lepas.

Peristiwa tersebut turut mengakibatkan penumpang KTMB dari Stesen Padang Besar, Perlis terpaksa menaiki pengangkutan lain kerana perkhidmatan tren SRT juga ditangguhkan.

Mengulas lanjut, KTMB berkata, para penumpang dari KL Sentral akan menjalani pemeriksaan imigresen dan kastam di Stesen Padang Besar, Perlis tanpa perlu membawa bagasi.

“Mereka akan menaiki semula tren khas MySawasdee hingga ke Stesen Padang Besar di Thailand pula sebelum bertukar dengan bas menuju ke destinasi akhir di Hatyai,” katanya.

Penumpang yang sudah membeli tiket balik ke KL Sentral untuk tarikh perjalanan pada 12 Disember juga akan menaiki bas dari Hatyai menuju ke Stesen Padang Besar, Thailand.

Dari sana pula ujar operator itu, mereka akan dibawa pulang dengan tren khas MySawasdee ke Stesen Padang Besar, Perlis untuk menjalani pemeriksaan imigresen dan kastam.

Ketika prosedur tersebut, penumpang akan diminta membawa bersama-sama bagasi mereka sebelum menaiki semula tren berkenaan untuk berlepas menuju ke Stesen KL Sentral.

KTMB menawarkan sejumlah 1,200 tiket untuk tiga perkhidmatan khas itu yang bertemakan December Mania dengan tarikh perjalanan masing-masing pada 9, 23 dan 30 Disember.

Kesemua tiket promosi tersebut yang dijual pada 29 November lalu laris apabila berjaya habis dijual dalam tempoh singkat 30 minit sahaja sejurus dibuka bermula pukul 3 petang.

Sambutan luar biasa itu menyaksikan penumpang yang gagal membeli tiket berkenaan terpaksa menaiki tren biasa ETS KTMB sebelum bertukar tren ‘shuttle’ SRT di Padang Besar.

Perkhidmatan MySawasdee diperkenalkan pada 15 September lalu bersempena sambutan Hari Malaysia 2022 dengan 12 buah gerabak termasuk koc khusus yang disediakan katil.

Pelancaran tren khas KTMB ini disambut baik oleh Persatuan Hotel Songkhla kerana ia merancakkan kembali aktiviti pelancongan Hatyai yang sebelum itu lesu ekoran isu Covid-19.

Pengerusinya, Sittipong Pattaraphapa dipetik oleh akhbar tempatan malah memohon agar KTMB menjadikan perkhidmatan khas itu sebagai perjalanan jadual tetap pada setiap hari.

Pada masa sama, ia juga dapat membantu Malaysia kerana pelancong asing khususnya dari Barat boleh menaiki tren itu menuju ke KL Sentral dengan tambang yang agak murah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya