PUTRAJAYA: Seramai 400 penumpang tren khas MySawasdee untuk perjalanan pada 23 Disember ini akan menaiki bas sejurus mereka sampai di Stesen Padang Besar, Perlis.
Menurut hantaran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam laman sosial rasminya, perjalanan tren dari KL Sentral di ibu negara masih diteruskan mengikut jadual ditetapkan.
“Bagaimanapun terdapat perubahan pergerakan di sempadan apabila mereka menaiki bas di Padang Besar menuju ke Pintu Sempadan Malaysia-Thailand,” jelas operator rel itu.
KTMB tidak memberikan sebarang alasan namun pertukaran tersebut dipercayai susulan situasi banjir besar melanda wilayah selatan Thailand termasuk Hatyai sendiri ketika ini.
Langkah penggunaan bas itu adalah kali kedua selepas trip pada 9 Disember lalu ekoran dua insiden letupan bom oleh puak pemberontak tempatan di landasan tren dekat Sadao.
Kes tersebut menyaksikan tiga staf State Railways of Thailand (SRT) terbunuh manakala empat lagi pekerja agensi kereta api milik negara jiran itu pula mengalami kecederaan.
Peristiwa berkenaan turut mengakibatkan penumpang KTMB di Stesen Padang Besar, Perlis perlu menaiki pengangkutan lain kereta perkhidmatan tren SRT terpaksa dibatalkan.
Mengulas lanjut, KTMB berkata, para penumpang akan menjalani saringan oleh imigresen dan kastam di pos sempadan itu tanpa perlu membawa bagasi ketika sesi pemeriksaan.
“Mereka akan dibawa semula menaiki bas yang sama menuju terus ke Hatyai Junction Station dan kemudiannya bersurai ke lokasi penginapan masing-masing,” jelas syarikat itu.
Penumpang yang sudah membeli tiket balik ke KL Sentral pada 26 Disember ini juga akan menaiki bas dari stesen itu untuk pergi semula ke Pintu Sempadan Malaysia-Thailand.
Waktu berlepas dari Hatyai Junction Station ditetapkan pada pukul 10 pagi waktu Thailand (11 pagi waktu Malaysia) dan mereka kena berkumpul di situ 30 minit sebelum berlepas.
Ketika prosedur di pos sempadan pula, penumpang akan diminta membawa bersama-sama bagasi sebelum menaiki balik bas yang sama menuju ke Stesen Padang Besar, Perlis.
Sejurus tiba di situ ujar KTMB, mereka akan menaiki tren MySawasdee yang sudah pun sedia menunggu dan berada di stesen tersebut sebelum bergerak pulang ke KL Sentral.
KTMB menawarkan sejumlah 1,200 tiket bagi tiga perkhidmatan khas itu yang bertemakan December Mania dengan tarikh perjalanan masing-masing pada 9, 23 dan 30 Disember.
Kesemua tiket promosi tersebut yang dijual pada 29 November lalu laris apabila berjaya habis dalam tempoh singkat 30 minit sahaja sejurus ia mula dibuka pada pukul 3 petang.
Perkhidmatan MySawasdee diperkenalkan pada 15 September lalu bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2022 melibatkan 12 gerabak termasuk koc khas disediakan katil. – UTUSAN