Pensyarah USM dipilih mentor program angkasa PBB

Pensyarah USM dipilih mentor program angkasa PBB

usm
NORILMI AMILIA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Norilmi Amilia Ismail, 41, terpilih sebagai satu-satunya mentor dari Malaysia dalam program Space4Women.

Projek Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Hal-Ehwal Angkasa (United Nations Office for Outer Space Affairs – UNOOSA) itu ditubuhkan untuk memberi peluang pendidikan dan kerjaya angkasa dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam kalangan wanita seluruh dunia.

Projek itu berusaha memastikan penglibatan dan penyertaan yang saksama dalam bidang penerokaan angkasa, sains dan teknologi dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Keempat – Pendidikan Berkualiti dan SDG Kelima – Kesaksamaan Gender.

Menurut Norilmi Amilia, beliau yang terpilih bersama kira-kira 100 peserta seluruh dunia akan berkongsi pengalaman dan membimbing wanita muda (mentee) yang berminat dalam STEM untuk terus maju dalam bidang angkasa.

“Alhamdulillah, saya teruja untuk meluaskan jaringan dalam bidang angkasa setelah berusaha untuk meletakkan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam tempoh 10 tahun ini.

“Menjadi mentor ini adalah satu pengiktirafan kepada saya kerana untuk menjadi mentor perlu ada pengalaman dan pengetahuan mendalam dalam bidang ini sekaligus membuktikan usaha saya berhasil,” katanya yang bertugas di USM sejak 2012 dan berasal dari Kuala Selangor.

Pemilihan dibuat oleh UNOOSA berdasarkan permohonan yang dibuka kepada semua yang terlibat dalam bidang angkasa.

Norilmi Amilia baru-baru ini terlibat membimbing 11 anak pelajar Kejuruteraan USM yang mencipta sejarah sebagai pasukan pertama Malaysia dipilih untuk melancarkan roket dalam pertandingan Spaceport America Cup 2022 pada 21-25 Jun yang merupakan persidangan dan pertandingan pelancaran roket berkuasa tinggi antara universiti yang terbesar di dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya