Peniaga terus runsing bekalan telur masih sukar diperolehi - Utusan Malaysia

Peniaga terus runsing bekalan telur masih sukar diperolehi

SEORANG peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Wawa, 27, menyusun bekalan telur Omega susulan kekurangan telur gred B di kedai runcitnya di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini. - Pix SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI: Bekalan telur yang sukar didapati turut membuatkan para peniaga di sini runsing kerana tidak dapat menampung permintaan pelanggan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan kedai berdepan dengan masalah sama sekali gus menyebabkan peniaga dan pelanggan mempersoalkan jaminan kerajaan yang menyatakan bekalan telur ayam mencukupi di pasaran.

Salah seorang peniaga kedai runcit, Atikah Halim, 24, berkata, masalah itu sudah lama membelenggu peniaga susulan pembekal hanya menghantar bekalan telur ke kedainya seminggu sekali.

“Memang susah untuk dapatkan bekalan dalam kuantiti yang banyak dan kami terpaksa berdepan dengan rungutan pelanggan.

“Walaupun pihak kerajaan memberi jaminan bekalan mencukupi, namun setakat ini para peniaga rata-rata berdepan dengan masalah sama.

“Diharapkan isu ini akan segera diselesaikan kerana telur adalah makanan yang sentiasa mendapat permintaan tinggi pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Wawa, 27, berkata, bekalan telur juga pernah terputus di kedainya ekoran penghantaran lewat daripada pihak pembekal.

“Ada kalanya dapat (bekalan) sikit, dan kadang-kadang tak ada langsung.

“Setakat ini, sepapan telur gred B dijual dengan harga RM12.90 selain telur Omega yang kurang mendapat sambutan kerana mahal,” katanya.

Bagi peniaga char koay teow yang mahu dikenali sebagai Alin, 43, berkata, kekurangan bekalan telur menyebabkan menu istimewa di kedainya terpaksa dihentikan seketika.

“Sebelum ini, ‘char koay teow special’ yang saya jual ada ‘telur mata’, tetapi sejak bekalan telur susah untuk didapati, saya hanya jual menu biasa sahaja.

“Susah juga sebab peniaga tidak boleh menggunakan telur Omega kerana harganya yang mahal sekali gus menaikkan kos modal bahan mentah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya