ALOR SETAR: Peniaga roti canai di bandar raya ini mengeluh apabila terpaksa menaikkan harga roti telur di kedai mereka ekoran krisis bekalan telur ketika ini.
Menurut peniaga terbabit, Mohd. Nazri Amir Khan, 29, dia terpaksa menggunakan ‘telur kayangan’ yang berharga RM1 sebiji berbanding 56 sen untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Bukan senang nak dapatkan bekalan telur sekarang. Sedangkan kami memerlukan sehingga 200 biji telur sehari untuk menyediakan roti canai yang menggunakan telur.
“Kadang-kadang saya terpaksa mencari telur sehingga ke Pendang. Pernah satu ketika telur kehabisan jadi terpaksa guna telur kayangan atau telur Omega. Akibatnya harga roti telur ini terpaksa dinaikkan kerana kosnya meningkat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, masalah bekalan telur itu berlaku sejak Ogos lepas sebelum berterusan meruncing sehingga ke hari ini.
“Roti telur sekarang terpaksa dinaikkan kepada RM3 kerana kenaikan dan kekurangan telur ini. Banyak pelanggan yang tak faham marah tetapi kami tidak ada pilihan.
“Insya-Allah, jika masalah telur pulih kami akan menurunkan harga roti canai itu seperti biasa,” katanya.
Mohd. Nazri juga memberitahu sejak empat tahun berniaga roti canai, krisis bekalan dan harga telur yang dihadapi kali ini adalah terburuk.
“Pada bulan lepas saya terpaksa menutup kedai dua hari sebab telur tak ada langsung,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berharap, kerajaan dapat menyelesaikan isu bekalan itu secepat mungkin yang dilihat menjejaskan perbelanjaan pengguna.
“Saya mendapat rungutan daripada peniaga yang terpaksa menaikkan harga makanan mereka yang berasaskan telur kerana masalah bekalan ini. Mereka terpaksa bertungkus lumus untuk mendapat telur yang kini bagi Gred B dijual pada harga 56 sen berbanding 43 sen.
“Ada juga terpaksa guna telur premium atau kayangan yang berharga RM1 sebiji apabila terputus bekalan. Kerajaan perlu memberi jaminan selain harganya semakin turun bekalan juga tidak akan terputus,” katanya. – UTUSAN