Peniaga di P. Pinang tidak sabar tunggu harga baharu telur - Utusan Malaysia

Peniaga di P. Pinang tidak sabar tunggu harga baharu telur

PENIAGA nasi lemak, Kholijah Awang, 44, ketika ditemui di gerainya di pasar awam dekat Seberang Perai, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Rata-rata peniaga di sini tidak sabar menantikan berita baik mengenai harga telur ayam baharu yang akan diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu yang dijangka hari ini.

Seorang peniaga nasi lemak , Kholijah Awang, 44, berkata, harga telur ayam Gred B terkini yang sering digunakan sebagai lauk sampingan berharga kira-kira RM13.50 hingga RM14 sepapan berbanding sebelum ini hanya RM12 sepapan.

Menurutnya, kenaikan harga mendadak itu menyebabkan pulangan yang diterimanya tidak begitu memberangsangkan ketika ini.

“Memang rasa tertekan dengan harga telur ayam sekarang. Kalau nak guna telur yang lebih murah seperti Gred C mahupun D susah nak dapat sekarang.

“Berniaga pun setakat balik modal saja. Nak menyimpan jauh sekali. Kalau harga telur goreng pula RM1.50 sebiji, sebelum ni harga RM1 sebiji.

“Harap ada berita baik mengenai harga telur ayam yang baharu kerana bagi peniaga kecil-kecilan macam saya agak sukar nak bertahan jika harga telur ayam terus mahal di pasaran,” katanya kepada ketika ditemui di sebuah pasar awam, dekat sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar awam sekitar Seberang Perai mendapati harga telur ayam Gred A, B dan telur ayam Omega masing-masing dijual RM18; RM16.50 dan RM22 sepapan manakala telur ayam Gred C dan ke bawah tiada bekalan.

Seorang lagi peniaga nasi lemak ayam berempah, Bebe Nur Aqeela Mohamad Yunus Khan, 29, berkata, telur ayam yang sering digunakannya adalah Gred C berharga RM10.20 sepapan yang dibeli melalui pembekal telur di Sungai Seluang dekat Lunas, Kedah berikutan harganya lebih murah.

“Terpaksa dapatkan bekalan telur di Lunas, Kedah memandangkan harganya lebih murah. Kalau tidak, harga telur ayam Gred C di sekitar Butterworth boleh mencecah sehingga RM12 sepapan.

“Semoga lepas pengumuman nanti dapat beri kelegaan buat kami sebagai peniaga,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Mohamad dijangka membuat pengumuman harga telur ayam yang lebih murah bagi mengurangkan kebergantungan bekalan telur kepada kartel hari ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya