BALIK PULAU: Kementerian Pelancongan menggalakkan semua pengusaha ‘glamping’ di seluruh negara mendapatkan penggredan di bawah kementerian tersebut.
Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan, Roslan Mohammad berkata, dengan adanya penggredan itu, banyak manfaat dan faedah akan diperoleh pihak pengusaha bagi meningkatkan keyakinan pelancong untuk menginap.
Ini kerana kata beliau, penilaian yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan memberi penekanan kepada aspek keselamatan, kemudahan dan keselesaan yang ditawarkan kepada pelancong.
“Selain itu, aspek-aspek tambahan lain turut dititikberatkan yang mana secara keseluruhannya terdapat 12 aspek kriteria yang dinilai tertakluk
kepada lokaliti keberadaan kawasan ‘glamping’ tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Sijil Penggredan kepada Boulder Valley Glamping Penang, di Teluk Bahang, di sini hari ini.
Boulder Valley Glamping menerima penggredan tiga Bintang Kategori Hotel Inovatif Resort di bawah Kementerian Pelancongan dan menjadi premis pertama yang diberikan penggredan itu di negara ini.
Menurut Roslan, Kementerian Pelancongan menyasarkan lebih ramai pengusaha ‘glamping’ yang akan diberikan penggredan pada tahun depan.
Setakat tahun ini jelas beliau, terdapat dua pengusaha ‘glamping’ yang telah memohon mendapatkan penggredan daripada Kementerian Pelancongan dan jumlah itu dijangka bertambah tahun depan.
”Bagaimanapun, antara syarat utama yang mesti dipatuhi pengusaha sebelum memohon adalah mesti mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Tambah beliau, secara keseluruhan pihaknya belum mempunya data lengkap mengenai jumlah pengusaha ‘glamping’ di seluruh negara memandangkan industri itu masih baharu berkembang dan tidak mempunyai persatuan sendiri.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Boulder Valley Glamping Penang, P. Nagaswaran berkata, penggredan tersebut merupakan satu kejayaan kepada pihak pengurusan resort berkenaan untuk menjadikan resort itu lebih dikenali pelancong asing dan tempatan.
“Kita yakin selepas berjaya memperoleh penggredan tiga Bintang Kategori Hotel Inovatif Resort, kita akan komited untuk dapatkan penggredan empat bintang pula selepas ini,” katanya. – UTUSAN