Pengusaha bot penambang tanggung sengsara

Pengusaha bot penambang tanggung sengsara pada musim tengkujuh

ISMAIL Ali termenung menunggu penumpang bot penambang di Jeti Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu, semalam. – UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kebanyakan pe­ngusaha bot penambang di Kampung Seberang Takir di sini terpaksa menghentikan sementara operasi susulan kekurangan penumpang sejak awal bulan lalu.

Salah seorang pengusaha Razali Abdul Ghani, 72, berkata, faktor cuaca buruk menambah kesengsaraan pengusaha bot yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti itu sebagai sumber rezeki.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan hanya dua atau tiga pengusaha bot penambang masih beroperasi setelah mene­rima kunjungan tidak sampai 10 penumpang sehari.

“Dengan caj RM2 sehala, pendapatan harian saya tidak seberapa. Untuk meletakkan harga lebih tinggi kami tidak sampai hati walaupun kos operasi meningkat.

“Setiap kali berlaku kerosakan ke atas bot seperti masalah enjin, kebocoran atau perlu mengecat baharu, kami memerlukan sekurang-kurangnya RM700 sehingga RM1,000 untuk kos membaiki.

“Begitu juga kos pembaharuan secara tahunan lesen Jabatan Laut Malaysia yang boleh mencecah ratusan ringgit termasuk insurans nyawa.

“Walaupun ketika ini cuti sekolah, penumpang masih kurang tidak sampai 10 orang setiap hari. Jadi, ramai pemandu berasa tidak berbaloi turun ke jeti buat masa ini.

“Daripada 17 bot penambang, hanya dua atau tiga pemandu masih meneruskan perkhidmatan membawa penumpang ke jeti Pasar Kedai Payang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi pengusaha, Ismail Ali, 61, berkata, dia kali terakhir membawa penumpang pada bulan lalu sebelum ketibaan musim Monsun Timur Laut (MTL).

Menurutnya, kesemua pengusaha bot penambang semakin hilang semangat dengan keada­an menyedihkan itu selain menyebabkan ramai yang tidak meneruskan pekerjaan itu.

“Sebelum ini, kami ada mene­rima bantuan bulanan RM200 daripada kerajaan negeri, malangnya, bantuan itu tidak dite­ruskan sampai sekarang dan saya tidak pasti apa puncanya.

“Kebanyakan penumpang adalah pelancong luar yang datang bercuti. Namun, disebabkan musim banjir sekarang, hanya peniaga Pasar Kedai Pa­yang setia dengan khidmat bot penambang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya