KUALA TERENGGANU: Penutupan beberapa jalan utama menyebabkan proses penghantaran bantuan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Besut, Setiu dan Hulu Terengganu terjejas.
Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) negeri, Mazura Ngah Abd. Manan, pihaknya sedang mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan masalah itu dapat diatasi dengan segera.
Beliau berkata, JKM negeri juga telah mengambil maklum kegusaran mangsa banjir yang mendakwa tidak menerima bantuan makanan terutama di tiga daerah berkenaan.
“Barang keperluan lain seperti tikar atau selimut masih cukup. Cuma kami sukar untuk menyalurkan bantuan makanan kerana jalan utama ke PPS telah terputus.
“JKM negeri kekurangan aset termasuk lori serta bot untuk masuk ke kawasan PPS yang terjejas, namun kami sedang mengatasi isu terbabit dengan kerjasama agensi-agensi lain.
“Dalam masa sama, stok bekalan makanan di pengkalan hadapan turut ditambah sebagai langkah jika banjir semakin buruk dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Di Terengganu, terdapat sebuah stor utama di Marang, stor daerah di setiap pejabat JKM daerah, 12 mini depoh dan 152 pengkalan hadapan yang menempatkan bekalan bantuan makanan.
Mazura memberitahu, usaha kini giat dilakukan JKM negeri untuk memastikan bantuan dapat disalurkan dengan mencukupi di semua daerah yang terlibat dengan banjir.
Awal pagi ini tular di media sosial keluhan segelintir mangsa banjir di daerah Besut yang mendakwa mangsa di beberapa PPS berada dalam kelaparan setelah tidak mendapat bantuan makanan. – UTUSAN