KOTA BHARU: Musim tengkujuh yang sedang melanda ketika ini menyebabkan beberapa jenis sayur-sayuran mengalami kenaikan lebih sekali ganda sekali gus mencetuskan keresahan dalam kalangan pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Ketereh mendapati, perbezaan ketara dapat dilihat apabila sayur jenis sawi dijual dengan pada RM8 hingga RM9 sekilogram berbanding RM5 hingga RM6 sebelum ini.
Bagi tomato pula berlaku kenaikan sebanyak RM2 daripada harga asal iaitu RM3, timun dijual pada harga RM5 sekilogram berbanding RM3 serta daun ketumbar RM40 sekilogram berbanding RM25 sebelum ini.
Seorang peniaga, Norhayati Md Nor, 53, berkata, kenaikan harga sayur ini berlaku sejak beberapa hari lalu berikutan musim tengkujuh yang melanda.
Menurutnya, keadaan itu memberi kesan pada harga sayur-sayuran kerana kekurangan bekalan dan perlu bergantung kepada bekalan sayur dari pembekal luar di Thailand.
“Kenaikan harga sayur-sayuran ini bukan sahaja memberi kesan kepada orang ramai, malah kami sebagai peniaga turut terkesan. Bagaimana kami ingin menjual dengan harga murah sedangkan peniaga juga menerima bekalan dengan harga yang tinggi daripada pembekal,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang peniaga ikan, Aisyah Amin, 26, memberitahu, harga ikan segar mengalami peningkatan disebabkan kekurangan bekalan susulan nelayan tidak dapat turun ke laut seperti kebiasaannya.
“Ikan kembung dan ikan selar yang sebelum ini dijual dengan harga RM14 hingga RM16 sekilogram, kini dijual RM20 hingga RM22 manakala ikan selayang dijual pada harga RM12 hingga RM14 berbanding RM7 hingga RM8 berbanding sebelum ini.
“Sementara itu, udang yang sebelum ini dijual dengan harga RM24 hingga RM26 sekilogram, kini dijual RM30 hingga RM22 manakala sotong dijual pada harga RM30 hingga RM34 berbanding RM24 hingga RM26 berbanding sebelum ini,” jelasnya.
Sementara itu seorang pengguna, Asiah Yunus, 60, berharap kerajaan mengambil pendekatan lebih aktif dalam membendung kenaikan harga barangan basah dan lain-lain.
Katanya, peningkatan harga terlalu tinggi ini memberi kesan terutama kepada golongan penoreh getah sepertinya. – UTUSAN