GUA MUSANG: Pengguna dan peniaga masih resah apabila barangan basah masih belum stabil di pasaran.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati berlaku kenaikan harga melibatkan barangan keperluan seperti bawang merah dan ayam.
Seorang pengguna, Siti Rahmah Awang, 55, berkata, dia mahu kerajaan bertindak segera dalam mengawal kenaikan harga barangan yang semakin meningkat ketika ini.
Menurutnya, peningkatan itu menyebabkan rakyat terus berdepan ‘tekanan’ untuk kembali memulihkan semula ekonomi keluarga yang terkesan akibat serangan pandemik Covid-19.
“Kenaikan harga barang memberi kesan kepada kos sara hidup keluarga apabila terpaksa berhemah dalam berbelanja dan sering lari daripada bajet.
“Saya juga mula mengawal perbelanjaan harian memandangkan barang basah yang meningkat setiap hari. Jadi saya harap mesyuarat khas kabinet yang akan diadakan baru-baru ini boleh membantu kami menurunkan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, seorang peniaga, Sabariah Mohamed Sayuti, 41, memberitahu dia terpaksa menaikkan sedikit harga jualan kerana terpaksa menanggung kos tinggi.
Katanya, kebanyakan barangan yang digunakan untuk berniaga adalah barang kawalan namun harga tetap berbeza berbanding sebelum ini.
“Sempena program jualan murah kali ini, saya terpaksa menjual seguni kecil bawang merah dengan harga RM3.60 berbanding bulan lalu RM2.50.
“Bagi ayam pula sebelum ini dijual dengan harga RM6.80 tetapi hari ini harga naik kepada RM8.40 sekilogram,” katanya.
Sabariah berkata, sejak bulan lalu, telur tidak dijual pada program jualan murah kerana tidak mendapat bekalan.- UTUSAN