LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mencadangkan penggiat industri pelancongan di pulau peranginan ini untuk mempelbagai produk yang ditawarkan bagi menarik lebih ramai kunjungan pelancong.
TImbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, pengenalan produk baharu yang memberikan pengalaman berbeza akan memberi pilihan tambahan kepada pelancong.
“LADA menggalakkan semua pemilik produk pelancongan, usahawan dan pelabur untuk memperkenal produk-produk yang unik supaya industri pelancongan Langkawi dapat memberikan kesan yang baik kepada penduduk Langkawi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sea Splash Travel Sdn. Bhd. dan Odysea Boat Operators Sdn. Bhd. di Royal Langkawi Yacht Club, di sini.
Dalam majlis sama, Wan Kamarul turut merasmikan pelancaran Pakej 99 Islands Cruise yang merupakan satu produk pelancongan baharu di Langkawi yang dijalankan dengan kerjasama kedua-dua syarikat tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sea Splash, Datuk Seri Mohd. Shukri Mohd. Nadzir berkata, Pakej 99 Islands Cruise membolehkan pelancong melihat formasi batuan yang ada sehingga Langkawi diiktiraf sebagai geotapak.
“Pakej ini dijangka mula ditawarkan bermula pada bulan ini dan promosi-promosi menarik akan dilakukan menerusi laman media sosial Sea Splash Travel,” katanya. –UTUSAN