MELAKA: Beberapa anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) akan melalui proses rasionalisasi bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan mengelak berlaku persaingan sesama sendiri.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, langkah penggabungan beberapa syarikat dijangka dapat menambah nilai pelaburan susulan kemasukan pelabur dari luar.
Menurut beliau, proses tersebut perlu dilakukan melalui perancangan teliti dengan mengambil kira impak terhadap kakitangan terlibat dengan penggabungan.
“Syarikat GLC kecil kita akan masukkan di bawah satu syarikat untuk dijadikan sebagai unit dalam syarikat yang dikenal pasti. Beberapa syarikat yang terlibat akan dipantau dan dinilai sewajarnya kerana kita juga akan mengambil kira faktor pekerja yang ada dan bagaimana kita mahu letakkan kedudukan mereka.
“Langkah ini perlu dilihat dengan sewajarnya agar kita ada perbelanjaan yang berhemah dan tidak ada pelanggaran tata kelola di bawah akta yang terlibat,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri di sini hari ini.
Sulaiman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah dan GLC menjawab pertanyaan dikemukakan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) berkenaan petunjuk prestasi utama (KPI) GLC di Melaka.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, sebanyak 10 anak syarikat GLC mencatatkan keuntungan melebihi 20 peratus tahun lalu, enam syarikat di bawah 20 peratus dan 23 syarikat berjaya mengurangkan kerugian.
Jelasnya, kerajaan negeri menetapkan sasaran KPI sebanyak 20 peratus keuntungan setiap tahun dalam Bajet 2021, namun perancangan itu terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Kerajaan Malaysia terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 yang berlarutan hampir tiga tahun. Keputusan drastik ini menyebabkan kesan besar kepada sektor ekonomi.
“Justeru, kerajaan negeri menyasarkan lebih banyak GLC mencatatkan keuntungan pada kadar 20 peratus tahun ini selaras dengan pembukaan semula sektor ekonomi.
“Selain itu, GLC juga perlu mencari rakan kongsi baharu untuk perniagaan dalam dan luar negara sekurang-kurangnya tiga projek usahasama dalam masa lima tahun. Anak-anak syarikat boleh mendapatkan rakan kongsi baharu untuk perniagaan antaranya pendidikan, kesihatan, bioteknologi, kewangan dan hartanah,” ujarnya. – UTUSAN