Pengakuan bekas scammer tipu mangsa RM1.3 juta - Utusan Malaysia

Pengakuan bekas scammer tipu mangsa RM1.3 juta

Kebocoran data peribadi rakyat Malaysia perlu diberi perhatian serius.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang bekas scammer wanita dari Sabah mendedahkan pernah ‘mengaut’ RM1.3 juta dari seorang rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara sepanjang tiga bulan ‘berkhidmat’ dengan sindiket penipuan siber.

Walaupun kasihan dengan mangsa membabitkan lelaki berusia 60-an itu namun dia perlu memikirkan nasib dirinya terlebih dahulu. Lelaki tersebut diperdaya dengan memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengikut bekas scammer berusia lewat 20-an, itu ‘kejayaan’ besar dirinya yang bekerja sebagai penipu siber ketika tempoh pandemik Covid-19, dua tahun lalu, dan daripada jumlah RM1.3 juta itu, dia diberi ganjaran dua peratus atau RM26,000.

Jelas wanita itu, pusat panggilan penipuan tersebut beroperasi di beberapa buah vila di sebuah daerah di Sarawak dengan setiap vila memuatkan 15 scammer.

Katanya, kerja sebagai scammer tidak penat selain mendapat ganjaran lumayan jika mampu menipu mangsa yang ramai setiap hari.

“Purata scammer perlu memenuhi kuota memperdaya kira-kira 110 mangsa sehari yang boleh memberi keuntungan sehingga jutaan ringgit.

“Itu antara syarat wajib perlu dilakukan ejen talian pelanggan atau scammer. Saya bekerja dengan sebuah sindiket penipuan di Sarawak,” katanya.

Dalam tempoh tiga bulan bekerja dengan sindiket itu, dia meraih pendapatan mencecah RM50,000 dan belum dicampur ganjaran khas RM26,000 kerana berjaya menipu seorang mangsa sebelum berhenti.

“Saya berhenti kerana memikirkan nasib jika saya ditangkap. Saya juga kasihan dengan keluarga saya yang tinggal di kawasan pedalaman di sebuah negeri,” katanya.

Jelasnya, daripada maklumat diketahui, sindiket itu berpengkalan di Taiwan dan dia terjebak dengan sindiket kerana terdesak selepas hilang pekerjaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya diberi kursus sebelum dibawa ke sebuah vila di negeri tersebut untuk bekerja sebagai scammer dan disyaratkan memperdaya sekurang-kurangnya 110 mangsa sehari.

“Ketika diajak, saya memang tahu itu kerja scammer dan saya ditempatkan di salah sebuah vila milik sindiket yang mana setiap rumah diduduki 15 orang. Tingkap ditutup seakan-akan dalam penjara selain telefon bimbit dipegang dan hanya diberi seminggu sekali untuk menghubungi keluarga.

“Kami bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang berbekalkan telefon bimbit, komputer riba dan sistem telefon suara melalui protokol Internet (VoIP) bagi memintas nombor telefon untuk menghubungi mangsa-mangsa,” katanya.

Kata wanita itu, sistem panggilan yang digunakan semua scammer tidak boleh mengesan lokasi pemanggil kerana menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) yang boleh menyembunyikan lokasi.

“Contohnya kami menggunakan pelayan VPN di Kuala Lumpur, jadi dalam talian menunjukkan kami berada di ibu negara walhal di Sarawak. Itu juga antara sebab vila tersebut tidak pernah diserbu pihak berkuasa.

“Hal itu juga menyebabkan banyak mangsa terpedaya apabila dalam talian menunjukkan nombor-nombor seperti dari Balai Polis Segamat, LHDN atau lain-lain,” katanya.

Antara penipuan daripada sindiket tempat dia bekerja ialah penipuan Macau, penghantaran barang, tunggakan Telekom Malaysia, tunggakan LHDN dan ugutan kes-kes mahkamah.

“Mangsa-mangsa saya kebanyakan golongan berusia 50-an hingga 70-an,” katanya.

Menurutnya, sindiket itu akan mengeluarkan hasil penipuan di mesin pengeluaran wang automatik menggunakan beberapa akaun keldai.

Selepas berhenti kerja sebagai scammer, dia dimaklumkan sindiket tersebut tidak lagi beroperasi kerana dihidu pihak berkuasa selain mereka telah menukar modus operandi terbaharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya