Penduduk tuntut janji Highland Towers dirobohkan - Utusan Malaysia

Penduduk tuntut janji Highland Towers dirobohkan

HAMPIR 30 tahun kejadian runtuhan bangunan Highland Towers, dua lagi bangunan masih belum diruntuhkan. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biarpun pernah diumumkan bakal diroboh, Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Kelang yang terbiar hampir 30 tahun itu masih berdiri teguh.

Malah tinjauan Utusan Malay­sia mendapati, tiada sebarang kerja-kerja mahupun kesan me­robohkan bangunan berkenaan dijalankan selepas pengumuman berkenaan dibuat April tahun lalu oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika itu, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Kondominium dua unit tersebut masih sama terbiar di kawasan semak-samun selepas insiden tragedi runtuhan melibatkan satu daripada tiga unit blok kondomini­um itu pada 11 Disember 1993.

Salah seorang penduduk berhampiran ketika ditemui berkata, sehingga kini beliau masih menanti kerja-kerja merobohkan Highland Towers itu yang menjadi sarang penagihan dadah sejak sekian lama.

Azmi Azman, 32, berkata, pen­duduk sekitar sudah cukup gem­bira apabila kerajaan mengumumkan kerja-kerja merobohkan bangunan itu bakal dilaksanakan tahun lalu namun kini ia senyap tanpa sebarang perkembangan.

“Kalau ikutkan sudah lebih setahun setengah, tapi sampai sekarang kami tidak melihat sebarang kerja-kerja merobohkan bangunan tersebut dimulakan dan kami tertanya-tanya juga apa sudah jadi.

“Bangunan tinggal itu perlu dirobohkan kerana ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada penduduk sekitar malah mendatangkan kebimbangan kepada kami terutamanya dari segi keselamatan,” katanya.

Tambahnya, biarpun bertukar pemerintah, kerajaan perlu me­ngotakan janji untuk meroboh dua unit kondominium itu demi keselamatan penduduk.

“Tunaikan janji meskipun bertukar menteri dan kerajaan, fikirkan keselamatan penduduk sekitar selain mencari alternatif untuk menjadikan kawasan berke­naan tidak terbiar begitu sahaja,” katanya.

Seorang lagi penduduk Ampang, Ku Nurul Atiqah Ku Ahamad, 33, turut sependapat dengan Azmi bahawa kerja-kerja merobohkan bangunan itu tidak boleh ditangguh lagi.

“Semalam genap 29 tahun tra­gedi runtuhan satu blok kondo­minium itu dan tahun depan pula genap 30 tahun, sampai bila hendak tunggu kerana jika dibiarkan berterusan ia berkemungkinan membahayakan penduduk sekeliling.

“Tidak cukup itu, bangunan tersebut dikatakan menjadi sarang penagih dadah dan ia menjadi lebih wajib untuk dirobohkan bagi menghentikan aktiviti jenayah ber­kenaan,” katanya.

Menurut Ku Nurul Atiqah, sekiranya kerja-kerja merobohkan ba­ngunan Highland Towers itu dilakukan, ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Katanya, umum mengetahui bahawa kedudukan tanah di kawasan berkenaan tidak stabil se­perti yang diumumkan oleh bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya