Penduduk Pahang di kawasan titik panas banjir perlu pindah awal - Peka - Utusan Malaysia

Penduduk Pahang di kawasan titik panas banjir perlu pindah awal – Peka

ZUHAIRI AB KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) mencadangkan penduduk di kawasan titik panas banjir yang sudah pun dikenalpasti supaya berpindah awal bagi memudahkan urusan menyelamat jika musibah itu berlaku.

Presidennya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, tindakan itu perlu dilakukan mengambil iktibar situasi banjir besar dan luar jangka yang melanda Kelantan serta Terengganu.

“Saya percaya di Pahang, kawasan titik panas banjir sudah pun dikenalpasti. Jadi berdasarkan ramalan banjir besar di negeri ini bermula hari ini hingga 26 Disember ini, maka penduduk di lokasi titik panas ini perlu dipindahkan awal.

“Ini bagi memudahkan operasi menyelamat mangsa jika berlaku banjir mengejut dan luar jangka di kawasan-kawasan yang tidak dijangka seperti mana di Kelantan dan juga Terengganu.

“Jika kawasan titik panas ini belum berpindah dan berlaku banjir besar, makanya pasukan penyelamat pasti lebih tertumpu di lokasi itu dan kawasan tidak disangka-sangka ini lambat menerima bantuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan makin kritikal kelmarin de­ngan bilangan penduduk terjejas dan ditempatkan di pusat pe­mindahan sementara (PPS) me­lebihi 66,000 orang.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, inisiatif berpindah awal itu perlu melibatkan kerjasama antara kerajaan dan penduduk di kawasan titik panas banjir dikenalpasti.

“Di pihak kerajaan tentunya kerajaan perlu mengeluarkan perbelanjaan kepada penduduk-penduduk terlibat yang ditempatkan di PPS.

“Bagi penduduk pula, saya menyarankan mereka supaya mengambil inisiatif sendiri berpindah awal dalam tempoh jangkaan banjir di rumah saudara mara. Lakukan segala persediaan termasuk memindahkan barang di tempat tinggi sebelum berpindah,” katanya.

Beliau berkata, banjir tidak sama seperti musibah tanah runtuh kerana ia sudah ada jangkaan dan perlu dilaksanakan perancangan awal.

“Tidak ada sebab untuk penduduk di kawasan titik panas banjir tidak berpindah kerana memang sudah ada ramalan awal dan lokasi itu memang sering berlaku banjir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat khususnya golongan ibu bapa sentiasa menjaga keselamatan anak-anak mereka khususnya yang masih kecil ketika banjir melanda.

Menurutnya, peringatan tersebut penting kerana kanak-kanak suka bermain air banjir.

“Ini perlu diberi perhatian bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku seperti menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang menjadi korban pertama banjir di Terengganu baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya