JERANTUT: Banjir mula melanda di daerah ini apabila air Sungai Tembeling melimpah masuk ke dataran perniagaan dan jeti di Kampung Bantal, pedalaman Ulu Tembeling kira-kira 130 kilometer dekat bandar Jerantut.
Air mula masuk ke kawasan kedai kopi, jeti bot penambang dan beberapa buah kediaman pesisir sungai tersebut kira-kira pukul 12 tengah malam tadi ketika penduduk asyik menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia 2022 antara Argentina dan Perancis.
Kejadian itu berlaku berikutan hujan lebat sejak tiga hari lalu di kawasan pedalaman hulu menyebabkan paras air dua batang sungai utama, iaitu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia di kawasan pedalaman Ulu Tembeling.
Berasaskan laporan di laman sosial Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat dijangka berterusan di Pahang membabitkan kawasan pedalaman termasuk Jerantut antara terkesan sejak semalam.
Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid berkata, ketika asyik menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia, penduduk dikejutkan dengan bunyi siren amaran banjir pada pukul 12.38 tengah malam.
“Air mula memenuhi dataran kampung ini meliputi wakaf menunggu bot penambang berdekatan jeti, kedai kopi dan laluan simen ke kawasan rumah berdekatan.
“Bagaimanapun, kami tidak panik kerana sudah tahu air akan melimpah memandangkan pada petang semalam paras air Sungai Tembeling mulai meningkat naik di tangga jeti bot kampung ini,” katanya.
Menurut Jamizan, tiada mangsa yang berpindah kerana rumah yang terletak di pesisir sungai itu menggunakan tong pelampung dan akan timbul serta tidak hanyut kerana ditambat pada pokok besar.
Pekedai kopi, Apran Amat, 78, berkata, dia sudah menjangka air akan melimpah masuk ke kawasan kedainya memandangkan paras Sungai Tembeling meningkat berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
“Lazimnya, saya sudah bersedia menempatkan peralatan dapur, bahan masakan dan minuman ke atas meja yang tinggi dan selamat, manakala tidak bimbang kerana kedai saya dipasang tong pelampung dan akan timbul,” katanya.
Apran berkata, kejadian banjir di Ulu Tembeling berkemungkinan memakan masa seminggu memandangkan keadaan cuaca masih hujan lebat dan paras air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia di Kampung Gusai meningkat dan arus deras.
Dalam pada itu, Zulkefly Jamaludin, 58, berkata, dia dan keluarganya yang sedang menonton bola sepak Piala Dunia dan mendengar teriakan jiran tentang banjir, tetapi tidak terkejut kerana sudah menjangka air Sungai Tembeling melimpah masuk ke kawasan premis memandangkan hujan lebat sejak tiga hari lalu.
“Kejadian ini berpunca apabila berlaku pertembungan aliran Sungai Sepia dan Sungai Tembeling berdekatan kampung ini menyebabkan air naik dengan cepat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, beliau dihubungi penduduk sejak tengah malam tadi hingga kini air Sungai Tembeling mula naik melimpah paras tebing di beberapa lokasi di pedalaman Ulu Tembeling.
“Saya berharap penduduk yang tinggal di pinggir sungai kampung tersebut diminta berwaspada dan menjaga keselamatan keluarga terutamanya memantau pergerakan anak-anak supaya jangan bermain air.
“Semoga Allah SWT menjadikan hujan yang turun ini sebagai rahmat yang memberi manfaat dan dijauhi kita semua daripada segala mudarat serta mara bahaya,” jelasnya. – UTUSAN