KUALA TERENGGANU: Pendaratan ikan daripada nelayan tempatan di kebanyakan jeti di negeri ini merosot kira-kira 50 peratus pada musim tengkujuh ini.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut, Tengku Harun Tengku Ismail berkata, pendaratan ikan mula berkurangan sejak November lalu dijangka berlarutan sehingga Februari tahun depan.
Menurut beliau, keadaan tersebut berlaku apabila kebanyakan nelayan bot pukat jerut tidak dapat keluar menangkap ikan kerana cuaca tidak menentu.
Katanya, kebanyakan ikan yang berada di pasaran sekarang hasil tangkapan nelayan bot pukat tunda, bubu dan pancing.
“Kekurangan jumlah tangkapan ikan itu menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di pasaran dan harga ikan dijual lebih mahal antara 30 hingga 50 peratus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Tengku Harun memberitahu, kebanyakan ikan yang dijual di pasaran tempatan adalah ikan sejuk beku yang dibekalkan dari Endau, Johor dan Kuantan, Pahang.
Menurutnya, ikan sejuk beku dijual lebih murah kerana harga dikawal Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Kebanyakan ikan sejuk beku itu adalah ikan rakyat seperti ikan selayang, cencaru, tongkol dan kembung,” ujarnya.
Sementara itu, seorang peniaga di Kuala Terengganu, Rahman Abdul Salleh, 45, berkata, harga ikan selayang meningkat antara RM12 dan RM15 sekilogram berbanding hanya RM8 dan RM10 sekilogram sebelum ini.
Sementara itu, katanya, harga ikan kembung turut naik kepada RM28 sekilogram, berbanding antara RM20 dan RM22 sekilogram.
“Sotong pula dijual pada harga RM45 sekilogram, ikan tenggiri RM42 sekilogram, ikan merah RM45 sekilogram, kerisi RM16 sekilogram, ikan cencaru RM15 sekilogram, ikan bawal RM34 sekilogram dan udang harimau antara RM34 dan RM50 sekilogram,” katanya. – UTUSAN