PUTRAJAYA: Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) mengemukakan 14 cadangan bagi mendepani cabaran utama sektor pendidikan tinggi ketika ini.
Memorandum cadangan itu dikemukakan PenDaPaT kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diteliti dan diperhalusi.
Pengerusi PenDaPat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman berkata, cadangan itu penting bagi menambah baik dan reformasi berkaitan pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata, cadangan dan penambahbaikan itu dibuat berasaskan dasar, amalan, sintesis, dan kajian empirikal yang dihasilkan kumpulan penyelidik berkaitan pendidikan tinggi.
“Kami percaya Menteri Pendidikan Tinggi adalah calon terbaik bagi menggalas amanah besar untuk memimpin sektor pendidikan tinggi negara pada landasan betul.
“Pengalaman Mohamed Khaled yang pernah dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi (2008-2013) diyakini dapat membantu menentukan dasar dan strategi terbaik dalam mendepani cabaran pasca pandemik,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.
Katanya, sektor pendidikan tinggi negara berdepan beberapa cabaran termasuk isu kepemimpinan institusi pendidikan tinggi (IPT), pengantarabangsaan, sumbangan universiti kepada masyarakat dan mengekalkan ekosistem budaya akademik tulen.
Berhubung isu ketandusan barisan kepimpinan akademik berwibawa seperti naib canselor, dekan dan pengarah, Norzaini berkata, pihaknya mencadangkan supaya Skim perkhidmatan ahli akademik sedia ada dikaji semula dan ditambah baik khususnya dalam aspek umur persaraan profesor.
Katanya, hal ini penting kerana usia persaraan ahli akademik tidak boleh disamakan seperti penjawat awam yang lain.
Mengenai isu pengantarabangsaan pula, katanya, pihaknya mencadangkan agar kebajikan pelajar asing diberi keutamaan manakala, Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Jabatan Imigresen perlu mempunyai sinergi terancang bagi menarik kemasukan pelajar ke Malaysia.
Dalam pada itu, Norzaini berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya IPT dapat terus menyumbang ke arah keperluan komuniti setempat termasuk menyelesaikan masalah meruncing masyarakat melalui penyelidikan, perbincangan kritikal, program intervensi dan inovasi sosial.
Bagi mengekalkan ekosistem budaya akademik tulen, Norzaini berkata, PenDaPaT mencadangkan supaya universiti penyelidikan berperanan memastikan sinergi antara penyelidikan dan pengajaran dan khidmat dan program multidisiplin.
Katanya, universiti penyelidikan juga perlu mengamalkan prinsip penambahbaikan berterusan dan inovasi serta memastikan pengurusan yang efektif serta kebajikan warga terjamin. – UTUSAN