CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjelaskan penamatan kontrak pegawai bulanan dan harian dibuat seiring perkembangan fasa digitalisasi agensi berkenaan.
LHDN menerusi kenyataan memaklumkan, keputusan untuk tidak menggajikan pegawai kontrak dibuat sejak 2018 sebelum diputuskan untuk dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari ini.
Menurutnya, ketika ini, penamatan membabitkan seramai 42 orang pegawai kontrak bulanan dan 998 orang pegawai kontrak harian.
“Namun demikian, pemakluman berkenaan keputusan untuk tidak mengambil pegawai kontrak ini telah pun dijelaskan seawal permulaan tahun ini kepada pegawai terlibat.
“Ia bertujuan memberi ruang dan masa kepada pegawai yang terkesan mengatur perjalanan kerjaya mereka selain mencari peluang pekerjaan di pasaran terbuka,” katanya.
LHDN menjelaskan, pihaknya amat cakna dan prihatin akan situasi dialami pegawai kontrak yang menabur bakti di agensi itu termasuk mendapatkan pekerjaan melalui penganjuran program bersama dengan syarikat-syarikat ejen cukai.
Katanya, LHDN turut terlibat dalam penganjuran program MYFutureJobs yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pegawai kontrak yang sedang berkhidmat di LHDN.
“Program ini adalah salah satu kaedah pencarian kerja dalam kalangan pegawai kontrak yang bakal menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.
“Hasilnya, dalam tahun ini, seramai 59 orang pegawai kontrak berjaya mendapat pekerjaan lain dan telah menamatkan kontrak mereka dengan LHDN,” katanya sebagai mengulas isu penamatan pegawai kontrak di agensi ini tular di beberapa saluran media.
Dalam pada itu, LHDN berkata, tindakan untuk tidak meneruskan perkhidmatan pegawai kontrak ini tidak didorong oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak.
Sebaliknya, ia dibuat bertunjangkan kepada hasrat meningkatkan kecekapan operasi agensi selain memastikan sumber kewangan negara dioptimumkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran.
“LHDN juga ingin menyatakan bahawa hasil kutipan cukai langsung negara tidak boleh digunakan semata-mata bagi tujuan penyambungan kontrak pegawai ini seperti didakwa oleh sesetengah pihak,” katanya.
Mengulas aspek pengurusan kerjaya pula, LHDN berkata, tawaran lantikan ke jawatan tetap ke peringkat lebih tinggi kepada pegawai-pegawai kontrak dibuat berdasarkan merit kelayakan dan kesesuaian jawatan.
“Untuk rekod, seramai 653 orang pegawai kontrak dilantik ke jawatan tetap bagi tempoh mulai tahun 2017 hingga 2022,” katanya. – UTUSAN