Pemilik trak tunda tawar khidmat redah banjir - Utusan Malaysia

Pemilik trak tunda tawar khidmat redah banjir

SEBUAH trak tunda membawa kenderaan yang terkandas selepas jalan dinaiki air dari Jalan Air Hitam ke Kampung Nyior, Paka, Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Beberapa laluan yang ditutup akibat banjir membawa rezeki kepada sekumpulan pemilik trak tunda di daerah ini yang menawarkan perkhidmatan membawa kenderaan meredah banjir.

Salah seorang pengusaha trak tunda, Mohd. Faizul Azuar Ubaidillah, 22, berkata, dia bersama rakan-rakannya mengambil peluang membantu pengguna jalan raya meredah laluan yang boleh dilalui kenderaan berat, sejak Ahad lalu.

Menurutnya, mereka turut menawarkan bayaran dengan harga lebih rendah berbanding hari biasa.

“Biasanya kalau dari Dungun ke Paka untuk perkhidmatan tunda kenderaan, harga untuk tunda kenderaan sekitar RM200 hingga RM250, namun banjir ini kami kenakan harga sekitar RM100 hingga RM150, bergantung kepada kedalaman air.

“Harga perkhidmatan yang dikenakan ini hanyalah untuk servis dan membaiki lori serta mengisi minyak,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Air Hitam, dekat sini, hari ini.

Shah Hakim Alias, 32, berkata, dia menawarkan khidmat 24 jam untuk menunda kenderaan bagi memudahkan urusan pengguna jalan raya terutamanya kenderaan ringan meredah air dengan selamat.

“Ramai yang guna perkhidmatan kami sebab mereka (pengguna jalan raya) tak sanggup nak berpatah balik dan melalui jalan yang lebih jauh yang belum tentu dinaiki air atau tidak.

“Kami tidak memaksa sesiapa untuk mendapatkan khidmat kami, pengguna mempunyai pilihan berpatah balik mahupun menggunakan khidmat kami,” katanya yang hampir 10 tahun menjalankan perkhidmatan trak tunda.

Seorang pemandu teksi pelancong, Ahmad Zunaidi Zaid, 44, berkata, dia menggunakan perkhidmatan trak tunda untuk meredah laluan dari Air Hitam ke Kampung Nyior, Paka hampir tiga kilometer yang dinaiki air sehingga 1.5 meter.

“Saya dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu nak ke Kuantan, tak tahu kat sini jalan ditutup.

“Mujurlah ada khidmat trak tunda, kalau tak, saya kena patah balik lebih 15 kilometer melalui susur masuk Kuala Dungun di Lebuhraya Pantai Timur 2,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN