BAYAN BARU: Semua pemilik tapak perkhemahan sama ada yang berdaftar atau tidak dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang diarahkan akur dengan arahan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya menutup operasi mereka selama tujuh hari.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, terdapat tapak perkhemahan yang dikenal pasti berisiko tinggi kerana terletak di kawasan cerun bukit di Suling Hill, di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Taman Bandaraya, di bahagian Timur Laut telah diarahkan ditutup oleh majlis bandaraya masing-masing semalam.
”Memang banyak di seluruh negara pelanggaran undang-undang kerana memulakan operasi tanpa kelulusan dalam apa jenis kegiatan termasuk tapak perkhemahan juga.
“Kategori ini (tapak perkhemahan) tidak dikesan banyak berlaku di Pulau Pinang, ada satu dua sahaja, jadi mereka perlu patuh dengan arahan KPKT untuk menutup operasi,” katanya selepas menghadiri acara Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidarity Fun Ride edisi keempat, di Dataran Queensbay malam tadi.
Yang turut hadir menyempurnakan acara pelepasan acara berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.
Sebelum ini, KPKT mengeluarkan arahan kepada 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengosongkan tapak perkemahan berisiko tinggi selama tujuh hari berkuat kuasa kelmarin bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland berulang.
Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri mempunyai garis panduan melibatkan pembangunan lereng bukit kerana Pulau Pinang pernah ditimpa bencana tanah runtuh yang melibatkan kehilangan nyawa.
”Sebarang pembangunan lereng bukit sama ada membina kediaman atau sebarang pembangunan tertakluk kepada garis panduan termasuk juga tapak perkhemahan,” katanya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kawasan perlancongan di kawasan bukit seperti di Bukit Bendera, Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera (PBBPP) berkata, pemantauan di kawasan itu akan dilakukan oleh PBBPP.
“Kawasan Bukit Bendera memang ada berlaku tanah runtuh, boleh dikatakan berlaku beberapa kejadian setiap tahun.
”Pemantauan di kawasan ini dilakukan oleh PBBPP, jika berlaku tanah runtuh ia akan dibaiki oleh PBBPP, kita juga ada satu tapak perkhemahan di banglo yang dimiliki kerajaan negeri di Bukit Bendera, ia juga diarahkan tutup sementara,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, di Pulau Pinang turut terdapat satu tapak perkhemahan glamping yang mempunyai kelulusan MBPP.
”MBPP pernah meluluskan pembangunan di Builder Valley, tapak ini ada kelulusan perancangan dan ada kelulusan pembangunan kerana mereka telah melakukan proses permohonan perlingkungan semula kegunaan tanah dan mematuhi syarat geo teknikal,” katanya. – UTUSAN