KUBANG PASU: Seorang pemilik bengkel dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 35.5 kilogram di Changlun, awal bulan ini.
Tertuduh, Lee Chee Thiam, 50, hanya mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Huda Idris dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut kertas pertuduhan, Chee Thiam didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 3.30 petang, 4 Disember lalu di sebuah bengkel kereta di Changlun.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh bakal dihukum mati mandatori.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Karthy Gasedev manakala tertuduh diwakili peguam daripada Ravi Shankar Gandhi and Associates.
Majistret menetapkan 29 Mac 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menanti laporan kimia.
Tiada jaminan ditawarkan dengan tertuduh kemudiannya dibawa ke Penjara Alor Setar untuk menjalani tahanan.
Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota kastam pada 4 Disember lalu terhadap sebuah bengkel membaiki kenderaan di Pekan Changlun yang menemukan 35 ketulan mampat dadah disyaki ganja.
Pemeriksaan dijalankan di bengkel tersebut mendapati dadah berkenaan diletakkan dalam empat kotak putih yang disimpan dalam sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda bernombor pendaftaran negara jiran.
Serbuan itu dilakukan hasil maklumat dan risikan rapi selama dua minggu dengan nilai dadah tersebut dianggarkan kira-kira RM142,000. –UTUSAN