Pembeli Taman Bukit Tambun Perdana tuntut rumah baharu

Pembeli Taman Bukit Tambun Perdana tuntut rumah baharu

TARRIQ Samdin menunjukkan kesan retakan di sekeliling rumahnya akibat mendapan tanah yang berlaku di Jalan Bukit Tambun Perdana 46, Durian Tunggal, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Impak tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Selangor amat memberi kesan kepada kira-kira 50 keluarga di Jalan Bukit Tambun Perdana 45 dan Jalan Bukit Tambun Perdana 46, Durian Tunggal di sini.

Hal ini kerana nasib mereka mungkin berakhir sedemikian memandangkan rumah di Taman Bukit Tambun Perdana yang dibeli dan didiami tidak sampai setahun itu mula retak akibat berlaku mendapan tanah kritikal.

Wakil pembeli, Zahari Samsudin, 37, berkata, lebih membimbangkan berikutan musim hujan yang melanda hujung tahun ini, tembok penahan dibina pemaju bagi tujuan keselamatan di lereng bukit juga runtuh bulan lalu, yang mana ia hanya beberapa meter dari rumah penduduk.

Katanya, apa yang lebih dikesalkan aduan dibuat kepada pemaju tidak mendapat perhatian sewajarnya kerana kerja-kerja membaik pulih dilakukan kontraktor bertanggungjawab hanya seperti ‘melepaskan batuk di tangga’.

Tambah Zahari, penduduk juga berasa seolah-olah dianaktirikan dan keselamatan keluarga mereka diperjudikan pihak berwajib, memandangkan rumah di lorong berkenaan adalah di bawah inisiatif Rumah Harapan iaitu rumah kos sederhana rendah.

PENDUDUK memantau tembok penahan yang runtuh di Jalan Bukit Tambun Perdana 46, Durian Tunggal, Melaka.

“Rata-rata penduduk berpindah masuk ke sini pada Februari tahun ini. Bayangkan tidak sampai setahun rumah yang dibeli sudah mengalami keretakan akibat mendapan tanah yang kritikal.

“Hari-hari kami dibelenggu perasan risau tambahan pula sekarang musim hujan. Kami risau berlaku runtuhan tebing kerana lokasi dua lorong ini berada di tepi tebing. Apa yang berlaku di Batang Kali Jumaat lalu amat menambah kerisauan kami.

“Janganlah kerana kami membeli rumah kos sederhana rendah, kami boleh dijadikan mangsa keadaan. Hak kami diperjudikan oleh pemaju. Aduan telah dibuat tetapi proses baik pulih itu tidak berlaku sepatutnya, tempoh jaminan hanya selama dua tahun. Apa akan jadi kepada kami selepas tempoh berkenaan?,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, pemilik rumah paling terjejas di lorong itu, Tarriq Samdin, 37, berkata, pemaju perlu bertanggungjawab dengan memberikan rumah di penempatan baharu memandangkan lokasi tersebut langsung tidak selamat untuk diduduki.

Jelasnya, keretakan di sekeliling rumahnya amat berbahaya kerana turut melibatkan kebocoran pada paip pembentungan sehingga air kumbahan memasuki sistem pendawaian elektrik.

“Rumah saya paling terjejas kerana berada di paling hujung lorong, hanya beberapa meter dari tebing. Akibat mendapan tanah struktur rumah terganggu, air masuk pada bahagian pendawaian.

“Apa akan jadi pada masa akan datang, saya pun tidak pasti. Pemaju perlu memberi kami rumah baharu kerana lokasi ini tidak selamat diduduki,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya