IPOH: Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari lori tangki yang dipandunya di Kilometer 265, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 7.50 pagi itu, lori tangki tanpa muatan yang dipandu mangsa turut musnah terbakar selepas jatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter.
Mangsa yang maut dikenali J. Elanggo berusia 44 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil berkata, sepasukan 15 anggota diatur gerak ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.
Katanya, setibanya di lokasi, didapati terdapat seorang lelaki berada di bahu jalan dengan kecederaan parah disyaki tercampak keluar dari lori yang terbabas.
“Mangsa yang dipercayai pemandu lori tangki tersebut bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. Ketika pihak bomba sampai di lokasi, lori tangki dipandu mangsa sedang marak terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi segera dijalankan bagi memadam kebakaran lori yang mengambil masa kira-kira 15 minit.
Katanya, operasi diteruskan bagi memastikan tiada bahaya lain mahupun mangsa atau kenderaan lain yang terlibat dalam nahas tersebut.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 11.35 pagi,” katanya. – UTUSAN