PETALING JAYA: Presiden Yayasan Artis Veteran Malaysia, Kismah Johar mengakui, sebahagian artis lama masih menerima bayaran rendah, biarpun berpengalaman luas sebagai anak seni.
Menurutnya, isu bayaran rendah dan tidak setimpal adalah masalah lama yang masih membelenggu, terutama bagi artis veteran.
Selain bayaran rendah, katanya, ramai artis veteran juga tidak mendapat tawaran berlakon daripada pihak produksi yang lebih mengutamakan bakat muda.
“Ada artis veteran datang mengadu hanya terima bayaran RM300 sehari sedangkan dia perlu menjayakan empat adegan dalam tempoh itu.
“Sekurang-kurangnya dia perlu menerima RM500 hingga RM1,000 sehari, bergantung pada adegan. Mereka bukannya ‘demand’ kerana ada antara artis ini sudah mempunyai nama dalam industri dan mampu berkarya dengan baik.
“Ada juga yang kemurungan kalau tidak dapat tawaran berlakon dan berkarya. Malah, kalau dapat tawaran berlakon biarpun hanya untuk dua hari, mereka sangat bersyukur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Isu bayaran tidak setimpal, layanan kelas kedua dan diperlekehkan syarikat produksi sering disuarakan pelakon veteran sejak dulu lagi.
Tahun lalu, seorang pelakon veteran pernah memberitahu, hanya menerima RM150 bagi menjayakan sebuah episod, selain mendapat layanan kelas kedua berbanding artis muda dan popular.
Kismah yang terkenal menerusi drama Keluarga Iskandar, bagaimanapun tidak menolak masih ada penerbit yang bermurah hati dengan memberi bayaran setimpal.
“Saya tidak nafikan, masih ada penerbit yang bagus, malah sanggup membayar lebih daripada kadar sepatutnya.
“Ada penerbit sampai cakap mahu bayar lebih supaya pelakon veteran dapat membeli ubat-ubatan, makanan tambahan dan urusan kesihatan lain,” kongsinya.
Mengulas lanjut, Kismah berkata, golongan artis veteran kategori ‘A’ sememangnya menerima bayaran lumayan disebabkan mereka sudah terkenal, selain kerap muncul di televisyen.
“Pelakon veteran pun ada kategori dan gred ini sebenarnya terpulang pada pihak produksi untuk tetapkan.
“Kalau saya berlakon selama ini, Alhamdulillah dapat bayaran setimpal. Kita boleh berunding dan bertolak anusr mengenai soal bayaran kalau bersesuaian dengan kadar yang ditawarkan,” jelasnya.
Kismah kini menerajui yayasan tersebut sebagai presiden selama sedekad dengan memiliki seramai 100 ahli terdiri daripada artis veteran di negara ini.