PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Putrajaya terus setia dan memberi sokongan kuat kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad biarpun parti itu mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
Penyelaras Pejuang Muda Putrajaya, Muhammad Zulhilmi Mohd She Fee berkata, gerakan Pejuang Putrajaya selepas ini akan terus diperhebat dengan tawaran lebih segar khususnya dalam pembangunan ekonomi dan modal insan orang Melayu.
Menurutnya, beliau juga optimis dengan gerak kerja yang lebih segar daripada barisan kepimpinan baharu selain meletakkan sasaran mempunyai 5,000 ahli sekali gus menjadi parti pilihan orang ramai.
“Sokongan itu dinyatakan dalam perjumpaan membabitkan lebih 50 ahli Pejuang Putrajaya bersama Dr. Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8, petang tadi.
“Pada pertemuan itu, Dr. Mahathir menyampaikan amanat beliau kepada seluruh ahli Pejuang Putrajaya betapa pentingnya kita perjuangkan nasib bangsa, tanpa berharap apa-apa pulangan.
“Tun juga mahu orang Melayu menumpukan usaha dalam meningkatkan kuasa ekonomi bangsa supaya tidak menjadi lemah dan mampu pertahankan integriti, maruah dan kehormatan diri,” katanya. – UTUSAN