PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan menyediakan satu kertas pelan pengubahsuaian berhubung cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia berikutan pertemuannya dengan jabatan itu semalam bagi membincangkan cadangan pengasingan kuasa tersebut
“Semalam, saya bertemu dengan Jabatan Peguam Negara, yang diketuai Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, untuk berbincang tentang pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Berikutan perbincangan ini, Jabatan Peguam Negara akan menyediakan satu kertas pelan pengubahsuaian AGC.
“Ini langkah pertama ke arah pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan saya berharap kerjasama baik antara Jabatan Peguam Negara dan pihak kami di pejabat Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi akan membuahkan hasil secepat mungkin, Insya Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Usaha pengasingan kuasa itu bukan perkara baharu kerana kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah merancang untuk melaksanakannya, namun terhenti bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Utusan pernah melaporkan, pengasingan fungsi dan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya memerlukan iltizam politik dalam kalangan 222 ahli Parlimen kerana perubahan itu memerlukan sokongan dua pertiga Dewan Rakyat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN