GEORGE TOWN: Sempena acara Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidarity Fun Ride edisi keempat, beberapa jalan akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula 17 Disember hingga 18 Disember (Sabtu dan Ahad) ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, proses penutupan dan lencongan jalan itu akan bermula pukul 8 malam (17 Disember) hingga pukul 6 pagi (18 Disember).
”Sehingga kini seramai 3,623 orang telah membuat pendaftaran bagi menyertai kayuhan ini.
“Program ini melibatkan jarak kayuhan sepanjang 73 kilometer (km) membabitkan laluan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di kedua-dua hala dan jalan sekitarnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurutnya, pada peringkat pertama, Bulatan Queen 1 dan Bulatan Queen 2 akan ditutup pukul 8 malam, Sabtu ini (17 Disember).
”Seterusnya, pada peringkat kedua iaitu pada pukul 9 malam, bulatan persiaran Bayan Indah (berhampiran susur keluar ke Seagate), kesemua susur masuk dan susur keluar ke jambatan kedua dan bulatan Batu Maung menghala ke pusat bandar akan ditutup.
”Kemudian, pada pukul 11 malam (peringkat ketiga), laluan yang akan ditutup ialah sekitar Bandar Cassia (Seberang Perai Selatan).
”Penutupan jalan peringkat keempat dijalankan pukul 12 tengah malam melibatkan bulatan Bayan Baru (ke arah dan dari arah Lebuhraya Tun Dr. Lim Choong Eu dan lencongan ke jalan Tun Dr. Awang dan Jalan Sultan Azlan Shah,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, pengguna jalan raya yang hendak ke tanah besar hendaklah menggunakan jambatan pertama Pulau Pinang.
Pengguna dari tanah besar menghala ke Bayan Lepas atau Bayan Baru pula jelasnya, hendaklah melalui Jalan Sultan Azlan Shah manakala pengguna dari Utara/ Selatan yang hendak ke Bandar Cassia perlu melalui Bukit Tambun.
”Pengguna juga dinasihatkan merancang perjalanan dengan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif yang lain,” katanya. – UTUSAN