BUTTERWORTH: Sebuah blok pangsapuri di Perai dekat sini, kini diisytihar sebagai lokaliti wabak tidak terkawal dan berpotensi menjadi lokasi ‘hotspot’ atau berbahaya susulan lima kes demam denggi direkodkan sejak 6 November lalu.
Ketua Inspektorat Cawangan Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Mohd. Wazir Khalid berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan di kawasan terbabit, terdapat banyak lokasi atau tempat yang tidak sepatutnya berlaku pembiakan nyamuk di situ.
Beliau berkata, ini termasuk lopak-lopak air di bahagian lantai, longkang yang tidak ditutup dengan sempurna serta kawasan-kawasan takungan air yang ‘diceroboh’ atau dibiarkan tanpa pemantauan sesiapa.
Lebih mengejutkan katanya, hampir setiap lantai di blok pangsapuri setinggi 20 tingkat itu dikesan ditakungi air yang mengandungi tempat pembiakan jentik-jentik.
“Kita akan hantar (sampel jentik-jentik ini) ke makmal untuk dianalisis bagi memastikan sama ada tergolong dalam kategori ‘albopictus’ atau ‘Aegypti’.
“Kedua-dua kategori ini boleh menyebabkan demam denggi dan kita berasa bimbang sekiranya berlaku peningkatan kes di sini kerana berisiko membawa kepada kematian,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi mencegah denggi atau Op Vektor di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata, ini kali keempat operasi seperti itu dibuat di kawasan berkenaan sepanjang tahun ini dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKDSPT) selain tiga kali pemantauan yang dijalankan oleh unit di bawah seliaannya.
Bagaimanapun katanya, tiada sebarang perubahan berlaku khususnya dari segi kebersihan di sekitar blok pangsapuri berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya juga menganjurkan taklimat dan gotong-royong di sini, namun tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan sehingga sesi tersebut terpaksa dibatalkan beberapa minggu lalu.
“Saya difahamkan blok pangsapuri ini telah wujud sejak lebih 20 tahun lalu dan pernah ditularkan beberapa tahun lepas kerana persekitarannya yang terlalu kotor dan menjijikkan.
“Bagaimanapun, senario itu masih sama hingga ke hari ini. Justeru, saya berharap penghuni yang terlibat serta masyarakat sekitar lebih bekerjasama dalam menangani isu ini daripada terus berlarutan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, susulan pemeriksaan terbaharu itu, pihaknya akan memanjangkan isu berkenaan kepada pengurusan pangsapuri terbabit yang turut melibatkan beberapa blok lain yang juga difahamkan berdepan dengan isu sama.
“Pihak kami telah diberitahu beberapa CCTV (kamera litar tertutup) telah dipasang oleh pihak pengurusan di beberapa lokasi untuk mengesan individu atau penghuni yang bertindak membuang sampah secara sesuka hati.
“Kita tidak akan tuduh mana-mana pihak yang perlu bertanggungjawab dalam isu ini, namun kita berharap mereka bekerjasama bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan di situ lebih terjamin,” katanya. – UTUSAN