PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan Pakej Prabayar Internet Mudah Alih iaitu Pakej Perpaduan kepada golongan bersasar dengan harga lebih rendah dari pasaran semasa bermula Februari 2023.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pakej terbabit asalnya adalah Pakej Remaja diperluaskan kepada golongan bersasar yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup golongan sasar untuk memiliki perkhidmatan Internet merupakan utiliti asas dengan harga serendah RM5.
Katanya, pakej ini disasarkan untuk dinikmati golongan belia, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta veteran polis.
“Pakej langganan itu akan melibat kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan lima syarikat penyedia komunikasi iaitu Celcom-Digi, Maxis, Umobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES).
“Pakej Perpaduan dengan harga RM30 ini menawarkan peningkatan kelajuan Internet mudah alih daripada 1 Mbps ke 3 Mbps dengan kuota dinaikkan daripada 20GB untuk tiga bulan kepada 30GB untuk tempoh lebih lama iaitu enam bulan,” katanya dalam sidang akhbar sempena meninjau persediaan bantuan bencana banjir di pejabatnya di sini hari ini.
Fahmi berkata, pengguna dapat menikmati penjimatan harga sebanyak 50 peratus berbanding pakej sedia ada iaitu dari RM10 sebulan kepada hanya RM5 sebulan.
Katanya, ia merupakan pakej asas yang disediakan dan terpulang kepada penyedia perkhidmatan untuk menawarkan nilai tambah ke atas pakej ini.
“Saya yakin usaha yang dilaksanakan KKD dengan kerjasama strategik syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan kos sara hidup dan pada masa yang sama memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh.
“Langkah penurunan harga ini jelas menunjukkan bahawa keperluan rakyat untuk menikmati perkhidmatan telekomunikasi dengan harga lebih murah dan mampu milik diberi perhatian serius Kerajaan Perpaduan,” katanya. – UTUSAN