KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengumumkan senarai portfolio 10 anggota Exco yang disifatkan beliau sebagai satu terjemahan ke arah memastikan kelancaran penyampaian khidmat kepada rakyat di negeri ini.
Senarai itu menyaksikan berlaku beberapa perubahan dan pertambahan dalam portfolio yang diumumkan berbanding penggal lalu.
Wan Rosdy berharap semua barisan Exco kerajaan negeri itu mengetepikan sentimen politik dan perbezaan ideologi masing-masing serta bekerjasama sebagai satu pasukan yang mantap bagi memastikan segala agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.
“Laksanakanlah setiap tugas yang diberikan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah agar hasrat menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri maju akan tercapai.
“Selain itu, saya mengharapkan supaya rakyat Pahang dapat memberi kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan negeri yang baru dibentuk ini demi kestabilan serta kemakmuran negeri.
“Ini kerana sudah sampai masanya untuk kita membuka lembaran baharu ke arah politik matang serta meraikan perbezaan antara kita semua dalam suasana kepelbagaian kaum dan agama agar kita dapat terus hidup dalam suasana yang aman, damai serta harmoni,” katanya.
Berikut adalah senarai penuh portfolio itu:
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air selain Pembangunan Ekonomi, Perladangan dan Komoditi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan
ADUN Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli.
ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff
Pengerusi Jawatankuasa portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan
ADUN Muadzam Shah, Ir Razali Kassim
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan.
ADUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau
ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi.
ADUN Guai, Datuk Sabariah Saidan
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga
ADUN Dong, Fadzil Mohamad Kamal
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan.
ADUN Teruntum, Sim Chon Siang
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia
ADUN Triang, Leong Yu Man
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan.
– UTUSAN