KUANTAN: Kerajaan negeri menyalurkan bantuan barangan keperluan asas bernilai RM150,000 kepada mangsa banjir di Terengganu.
Bantuan itu meliputi barangan seperti kit bencana, kit mandian, tikar, selimut tebal, selimut, kain batik, kain pelikat dan lampin pakai buang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan itu sebagai rasa simpati kerajaan negeri terhadap nasib rakyat Terengganu yang sedang berdepan musibah banjir akibat berlakunya Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, bantuan-bantuan tersebut sudah mula dihantar ke Terengganu pada pukul 3 petang hari ini.
“Sumbangan ini diselaraskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang.
“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir di Terengganu terutama yang sedang mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan sehingga pukul 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di Terengganu adalah seramai 40,494 mangsa melibatkan 11,247 keluarga yang ditempatkan di 297 PPS.
Wan Rosdy berkata, beliau juga berharap semua mangsa banjir bersabar dengan dugaan yang menimpa ini dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Saya berdoa semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada sebarang musibah dan malapetaka,” katanya. – UTUSAN