Padang Serai bukan petunjuk mutlak PH-BN ditolak - Utusan Malaysia

Padang Serai bukan petunjuk mutlak PH-BN ditolak

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kekalahan di Padang Serai bukanlah petunjuk mutlak kepada penolakan rakyat terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang baru saja dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kekalahan itu tidak boleh menjadi indikator yang merumuskan penolakan rakyat terhadap PH dan BN kerana gabungan tersebut berjaya mencapai kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Jika dibandingkan dengan DUN Tioman katanya, pengumuman kerjasama di Padang Serai dibuat agak lewat dan itu mungkin menjadi faktor pengundi terkeliru hingga tidak mendapat maklumat menyeluruh mengenai kerjasama antara PH dan BN.

“Ditambah pula dengan gelombang ditiup pihak lawan yang membawa sentimen perkauman, keagamaan sempit dan menakut-nakutkan masyarakat dalam berpolitik. Semua ini merupakan antara faktor yang membawa kepada kekalahan di Padang Serai.

“Kita bagaimanapun perlu akur dan menjadikan keputusan Parlimen Padang Serai sebagai satu iktibar untuk menilai kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi berkesan untuk bangkit meraih kepercayaan rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Keputusan Parlimen Padang Serai malam tadi menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menamatkan penguasaan PH di kawasan tersebut apabila calon mereka, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi, menewaskan saingan terdekat daripada PH, Dr. Mohamad Sofee Razak.

Azman menerima 51,637 undi manakala Mohamad Sofee yang turut dibantu BN untuk bertanding di situ sekadar memperolehi 35,377 undi.

Mengulas lanjut Shaiful Hazizy berkata, kekalahan tersebut perlu diterima dengan hati terbuka dan insaf mengenai berlakunya pola peralihan sokongan kepada PN.

“Ini adalah masa terbaik menilai semula kekuatan yang ada dan memastikan sinergi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan dimaksimumkan. Satu kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mencari sebab penolakan terhadap BN di Kedah.

“Fokus kini perlu diberikan kepada PRN Kedah yang akan berlangsung tahun depan. Saya percaya melalui perangkaan strategi awal dan berkesan, ditambah dengan usaha turun padang serta menyantuni akar umbi bagi menerangkan kekuatan bersama parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan, insya Allah angin perubahan mampu dilakukan di Kedah dalam PRN akan datang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya