KUALA TERENGGANU : Orang ramai dinasihatkan tidak bermain dengan air banjir kerana dipercayai bercampur dengan pelbagai sumber tercemar yang sangat berisiko untuk kesihatan manusia.
Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Hafizan Juahir berkata, air banjir dipenuhi dengan pelbagai jenis bakteria termasuk daripafa sumber kumbahan terutama bakteria seperti E coli, coliform dan lain-lain.
“Oleh itu, orang ramai terutama kanak-kanak perlu dilarang bermain air banjir kerana boleh menyebabkan sakit perut jika terminum secara tidak sengaja.
“Lebih membimbangkan kerana jangkitan kuman boleh berlaku melalui luka atau memasuki badan melalui rongga-rongga di tubuh yang turut boleh mengakibatkan jangkitan penyakit bawaan air.
“Cara terbaik meminimalkan risiko ini adalah jangan terdedah atau terendam dalam air banjir dalam tempoh yang terlalu lama atau kerap bagi mengelak jangkitan penyakit bawaan air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Penyakit bawaan air yang berisiko berlaku pada musim banjir adalah seperti taun, demam kepialu (tifoid), disenteri dan Hepatitis A dengan beberapa simptom seperti cirit-birit, muntah, demam, keletihan melampau, sakit perut dan najis berdarah.
Banjir gelombang pertama di Terengganu bermula pada 9 Disember lalu apabila lebih 800 mangsa di tujuh daerah di negeri itu dilaporkan berpindah di pusat pemindahan sementera, ” ujarnya.
Beliau memberitahu, lebih merunsingkan adalah risiko berlakunya wabak kencing tikus (Leptospirosis) sewaktu musim banjir.
Tambahnya, kencing tikus juga telah diiktiraf sebagai masalah kesihatan awam global kerana perkadaran wabak dan kejadian yang semakin meningkat dalam negara-negara yang sedang membangun dan negara membangun.
“Wabak ini biasanya berlaku selepas banjir disebabkan oleh hujan lebat bermusim seperti yang sedang melanda negara kita sekarang ini.
“Kajian epidemiologi menunjukkan jangkitan biasa dikaitkan dengan bidang pekerjaan seperti petani, pekerja kumbahan, veterinar dan pengendali haiwan tertentu,” ujarnya.- UTUSAN