HULU SELANGOR: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di tapak perkemahan Father’s Organic Farm (FoF) di Jalan Batang Kali-Genting Highlands akan memberi tumpuan pencarian di lokasi tanah runtuh setinggi 16 meter.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, operasi berkenaan disertai seramai 135 anggota terdiri daripada pasukan penyelamat dan dibantu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Menurut Hafisham, hujan lebat sejak petang semalam menyukarkan operasi SAR sembilan lagi mangsa yang hilang ekoran keadaan tanah runtuh setinggi 16 meter di lokasi kejadian menjadi lembik dan berlumpur.
“Cabaran kita sebab semalam hujan, hari ini tanah lembik dan becak dengan ketinggian daripada tanah asal dan gelincir lebih kurang 16 meter.
“Di situlah kita akan usaha buat pencarian dengan mengorek tanah berkenaan dan asingkan ke tempat lain dan kita akan mengorek hingga ke dasar,” katanya kepada pemberita pada sidang media perkembangan operasi SAR, di sini, pagi ini.
Mengulas lanjut, Hafisham berkata, operasi SAR dimulakan pada pukul 8 pagi menggunakan lapan jentera pengorek (excavator) dan dibantu Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, pasukan penyelamat akan memberi tumpuan pada sektor C dan A lokasi kejadian dan berharap agar dapat menemui mangsa yang masih hilang.
“Kita juga akan menumpukan pencarian di tempat yang kita belum laksanakan yang kita rasa situ kemungkinan besar kita akan jumpa mangsa yang belum ditemui.
“Harap usaha hari ini akan membuahkan hasil kerana semalam tiada hasil dan kita terkilan dan kecewa selepas seharian berusaha masih belum temui mangsa yang hilang,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan tragedi tanah runtuh melibatkan tapak perkemahan FOF melibatkan 94 mangsa sekitar pukul 2.42 pagi.
Sehingga kini, 61 mangsa dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan lagi masih hilang. – UTUSAN