PUTRAJAYA: Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini memulakan tugasnya secara rasmi di Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di sini.
Beliau yang mengenakan sut berwarna biru gelap, disambut pengurusan kanan sebaik tiba di lobi bangunan kementerian pada pukul 8.30 pagi.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu kemudiannya mengimbas cap jari perakam waktu dan terus masuk ke pejabatnya.
Mengulas mengenai misi pertamanya memulakan tugas hari ini, Nik Nazmi berkata, beliau telah pun diberikan taklimat mengenai isu-isu besar di bawah portfolio kendalian kementeriannya.
“Sebagaimana kita maklum, portfolio ini menggabungkan dua kementerian sebelum ini dan memang antara isu yang agak hangat, kita akan teliti minggu ini sebelum teruskan dengan sebarang pengumuman lanjut.
“Jadi bagi ruang sebab baru hari Sabtu kita angkat sumpah dan hari ini ada mesyuarat Kabinet khas dan lepas itu ada beberapa perkara kita akan selesaikan dengan portfolio masing-masing,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas Nik Nazmi, beliau akan meneliti isu-isu mendesak yang memerlukan perhatian di bawah kementerian berkenaan sebelum membuat sebarang pengumuman selanjutnya.
“Nama sedia ada (sekarang) Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, jadi kita tahu bahawa itu adalah isu-isu yang besar dan mungkin kadang-kadang orang tak sedar air dan tenaga termasuk di bawah portfolio ini, justeru beban kerjanya juga besar lah.
“Saya dah pernah ulas mengenai isu perubahan iklim, banjir dan alam sekitar, sekarang perkara ini orang dah benar-benar prihatin, kalau dahulu orang bercakap sahaja tanpa memahami impak tapi sekarang kita lihat impaknya, benda itu memang jadi permintaan orang ramai supaya perkara ini dapat ditangani kerajaan dan tidak hanya sebagai satu slogan, itu yang kita kena ambil serius,” ujarnya.
Nik Nazmi, 40, adalah antara 28 menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN