LANGKAWI: Seorang nelayan dipercayai hilang apabila tidak pulang selepas keluar menangkap ikan di perairan Langkawi, sejak semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya mendapat panggilan melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi petang semalam.
Menurutnya, mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Zaizali Harun yang berusia 61 tahun.
“Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dan bot Perkasa 1228 serta bot Perkasa 1224 diatur gerak sejurus menerima maklumat daripada anak mangsa bagi mencari nelayan terbabit
“Mangsa didapati tidak pulang selepas keluar ke laut sekitar pukul 4.30 petang dan dipercayai bot yang dinaikinya mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mangsa yang juga tekong bot keluar ke laut dari Kuala Sanglang, Perlis menuju ke Selat Bagan Nyior, di sini untuk menangkap ikan.
Tambah Romli, usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan dengan bantuan agensi sahabat daripada Pasukan Polis Marin (PPM), serta beberapa bot nelayan tempatan.
“Maritim Malaysia mengingatkan mereka yang melakukan aktiviti di laut untuk mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB),” katanya.
Katanya, Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750. –UTUSAN