KANGAR: Shaharim Senapi, 65, hanya mampu termenung mengenangkan nasib diri dan rakan-rakan nelayan lain di negeri ini apabila hasil tangkapan mereka semakin hari semakin berkurangan sehingga menjejaskan pendapatan.
Hasil tangkapan mereka difahamkan berkurangan sehingga 70 peratus disebabkan pelbagai faktor antaranya cuaca tidak menentu ketika ini selain pencerobohan nelayan luar menangkap siput retak seribu di perairan negeri ini.
Meluahkan kegusaran itu kepada Utusan Malaysia, Shaharim yang sudah lebih 50 tahun mencari rezeki sebagai nelayan berkata, sebelum ini, mereka memperoleh pendapatan sekitar RM200 ke RM300 sehari, namun jumlah itu berkurangan berikutan hasil tangkapan yang semakin terjejas.
Kata Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Negeri Perlis (Pelaris) itu, kebelakangan ini, nelayan hendak memperoleh pendapatan RM50 sehari agak sukar.
“Sekarang nak dapat RM50 pun susah malah kadangkala pendapatan yang diperoleh itu tidak mencukupi untuk membuat modal bagi membayar upah awak-awak dan mengisi diesel bagi enjin bot.
“Situasi ini sekali gus menjejaskan perbelanjaan harian kami dan hanya sekadar cukup-cukup makan,” katanya.
Shaharim berkata, perubahan cuaca yang mana angin Barat bertukar ke Timur ketika ini juga menjadi faktor kepada permasalahan berkenaan.
Malah, katanya, kekurangan hasil tangkapan itu semakin meruncing apabila berlakunya pencerobohan nelayan luar di sekitar perairan Kuala Perlis.
“Nelayan luar banyak mengambil kesempatan untuk masuk ke perairan di sini malah ada di antaranya turut mengaut hasil laut seperti siput retak seribu yang diharamkan penangkapan di negeri ini.
“Tindakan nelayan luar yang menangguk siput di perairan negeri ini telah menyebabkan ekosistem dasar laut di perairan ini terganggu sehingga membuatkan ikan-ikan tidak lagi tertumpu di sini berikutan bau tanah busuk kerana aktiviti itu.
“Keadaan ini menyebabkan pengurangan hasil bagi tangkapan kami pada setiap hari,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi nelayan pantai, Ismail Darus, 46, berkata, pengurangan hasil tangkapan itu sudah dirasai sejak pertengahan tahun lalu namun keadaan semakin teruk sejak dua minggu ini.
Katanya, tindakan penguatkuasaan perlu dipergiat selepas ini bagi memastikan keadaan ekosistem dasar laut di perairan itu tidak terus terancam.
“Masalah pencerobohan nelayan luar ini sememangnya sudah lama dan telah memberi kesan kepada kami yang mencari rezeki di kawasan ini,” katanya. – UTUSAN