LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyambut baik pelaksanaan penerbangan baru MYAirline melibatkan laluan Kuala Lumpur-Langkawi yang akan meningkatkan kemasukan pengunjung terutamanya pada cuti hujung tahun tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan LADA, Ahmad Fuad Che Ani berkata, pertambahan perkhidmatan penerbangan itu memberikan pengguna lebih banyak pilihan untuk ke pulau pelancongan tersebut.
“Pertambahan laluan baharu ini akan membawa masuk peningkatan pelancong-pelancong yang kita harapkan terutamanya ketika musim kemuncak pada hujung tahun nanti.
“Ia merupakan alternatif bagi pelancong yang akan menjadikan Langkawi lebih menarik kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan pesawat MYAirline di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), hari ini.
Tambah Ahmad Fuad, setakat ini, LTAL mendapat purata 215 penerbangan setiap minggu dengan lapan daripadanya adalah penerbangan antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah MYAirline, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, penerbangan sulung MYAirline ke Langkawi dengan kod penerbangan Z9 7701 tiba pada pukul 2.30 petang ini.
“MYAirline beroperasi menggunakan pesawat Airbus A320 ke Langkawi yang membawa 180 penumpang pada hari ini.
“MYAirline akan terbang ke Langkawi dengan kekerapan sebanyak dua penerbangan setiap hari dan akan menambah penerbangan pada masa akan datang sekiranya permintaan memberangsangkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Malaysia Airports Sdn. Bhd., Kamaruzzaman Razali berkata, pengiktirafan bertaraf dunia yang diterima LTAL dapat membantu memperkenal Langkawi kepada lebih ramai orang di seluruh dunia.
“Pengiktirafan ini dapat membuka mata dunia supaya lebih mengenali Langkawi bagi mereka yang tidak pernah ke sini untuk datang menikmati Langkawi dan aktiviti yang ditawarkannya,” katanya.
Semalam, akhbar melaporkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan LTAL kekal sebagai lapangan terbang terbaik dunia dengan mencatatkan skor penuh 5.00 dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) pada suku ketiga tahun ini.
Kedua-dua lapangan terbang itu juga berada di kedudukan teratas pada suku kedua tahun sama yang melibatkan penilaian kepuasan penumpang bagi keselamatan, fasiliti, perkhidmatan dan kebersihan lapangan terbang. – UTUSAN