Muhyiddin meroyan, tunjuk wajah sebenar - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Muhyiddin meroyan, tunjuk wajah sebenar – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat seolah-olah terus ‘meroyan’ dan lupa pelantikan Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk itu Muhyiddin perlu menghormati segala pelantikan ini namun tindakan beliau yang terus menimbulkan pertikaian menonjolkan keperibadian sebenarnya.

“Tindakan Muhyiddin dan sekutunya yang cuba mempertikai segala pelantikan ini adalah gambaran wajah sebenar pemimpin itu dan sekutunya yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

“Muhyiddin seolah-olah terus meroyan apabila gagal dilantik sebagai Perdana Menteri dan tidak sampai 24 jam Kabinet angkat sumpah, Muhyiddin menuduh pembentukan kerajaan dan Kabinet tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat yang tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.

“Muhyiddin lupa kuasa pelantikan Perdana Menteri ialah atas kuasa Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Muhyiddin mendakwa barisan Kabinet yang baharu ini adalah paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tambahnya, tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu serta sekutunya perlu berasa malu kerana dilihat terlalu gilakan kuasa hingga sanggup mempertikai keputusan institusi Raja-Raja Melayu.

“Mereka perlu mencontohi DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu, bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Muhyiddin dan sekutunya perlu belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukannya merengek serta meroyan tidak dapat menerima hakikat beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan gagal membentuk kerajaan.

“Kerajaan ini bukan kerajaan Pakatan Harapan tetapi ia adalah Kerajaan Perpaduan hasil daripada gabungan parti terbesar dan parti-parti kecil lain yang memenangi pilihan raya bekerjasama dengan parti-parti lain untuk membina negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya