MTUC desak lunas pampasan pekerja syarikat kurier - Utusan Malaysia

MTUC desak lunas pampasan pekerja syarikat kurier

MTUC
KAMARUL Baharin Mansor (baju kuning) bersama pekerja itu di hadapan pejabat JPPM Selangor, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak campur tangan Kementerian Sumber Manusia bagi menyelesaikan isu tuntutan pampasan atau faedah penamatan kerja dihadapi 680 pekerja sebuah syarikat kurier terkemuka tempatan.

Kesemua pekerja rata-ratanya pemandu lori itu diberikan notis pemberhentian kerja bermula esok sehingga 24 Januari tahun depan di seluruh negara.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, perkara itu disifatkan penganiayaan kepada pekerja yang sebahagian daripadanya bekerja lebih 30 tahun di syarikat tersebut apabila mereka perlu membayar faedah pemberhentian kepada pekerja mengikut Akta Kerja 1955.

“Namun, syarikat kurier yang dalam proses penggulungan itu bukan saja memberi notis singkat malah enggan membayar sebarang pampasan kepada mereka.

“Justeru, kami mahu kerajaan baharu menerusi kementerian berkaitan menyelesaikan isu seumpama ini termasuk melibatkan syarikat lain,” katanya ketika ditemui di pejabat Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPPM) Selangor, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama 67 pekerja hadir bagi mencari jalan rundingan dan penyelesaian bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Jelas Kamarul Baharin, syarikat kurier itu didakwa turut memotong gaji pekerja bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) namun tidak mencarum kepada agensi tersebut. 

“Keadaan itu jelas membebankan mereka yang kini bakal kehilangan pendapatan dan masih terkontang kanting. Kami cuma tidak mahu perkara seumpamanya berulang kembali pada masa depan dan individu berkaitan perlu disenarai hitamkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya turut meminta semua pekerja terjejas menubuhkan satu jawatankuasa khas dan akan merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, pekerja, Mohd. Hezri Rusli, 42, berkata dia yang bekerja selama 13 tahun sebagai pemandu lori menerima notis pemberhentian pada 1 Disember lalu.

“Notis itu bagaimanapun langsun tidak menyatakan tentang bayaran pampasan yang sepatutnya setimpal mengikut tempoh perkhidmatan bekerja. Kami kini buntu kerana mempunyai banyak komitmen dan tanggungan keluarga apatah lagi dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” luah bapa dua anak itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya