PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) serta-merta terhadap sebuah premis berikutan kejadian seekor tikus sedang menjamah ayam goreng yang tular sebelum ini.
Yang Dipertua MPAJ, Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, langkah itu selaras dengan Notis Perintah Tutup yang diambil Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Sabtu lalu.
Beliau berkata, tindakan sitaan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen juga akan dijalankan sekiranya premis masih beroperasi setelah NPPL dikeluarkan.
“Permohonan lesen baru hanya akan dipertimbangkan sekiranya semua syarat terutamanya berkaitan kebersihan dipatuhi sepenuhnya.
“Pemeriksaan kebersihan premis makanan dari segi kawasan penyajian dan penyediaan makanan serta kawalan serangga perosak di premis juga dijalankan secara berkala oleh MPAJ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Fauzi menambah, rekod pemeriksaan lalu menyaksikan penarafan kebersihan premis tersebut adalah pada Gred B bagi Jun 2021 dan terbaru adalah pada Januari 2022.
“MPAJ sentiasa memantau kawalan kebersihan setiap premis makanan bagi memastikan syarat-syarat dan peraturan-peraturan sentiasa dipatuhi,” katanya. -UTUSAN