Mohon tebang pokok 100 tahun elak bahaya

Mohon tebang pokok 100 tahun elak bahaya

MD. Rathi Ahmad (kanan) dan Mohd. Raziff Mansor menunjukkan surat permohonan menebang pokok berusia 100 tahun di belakang mereka di Kampung Perigi Jernih, Rembau, Negeri Sembilan. - UTUSAN/ NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Bimbang mendatangkan bahaya, penduduk Kampung Perigi Jernih, di sini, memohon pihak bertanggungjawab menebang sebatang pokok besar berusia hampir 100 tahun di jalan utama keluar dan masuk kampung berkenaan.

Penasihat Surau Nur Hidayah Kampung Perigi Jernih, Mejar (B), Md. Rathi Ahmad, 75, berkata, walaupun aduan berhubung perkara tersebut dibuat sejak setahun lalu, tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib.

Katanya, dia sendiri berusaha menyelesaikannya dengan mengambil beberapa tindakan termasuk mendapatkan persetujuan pemilik tanah untuk menebang pokok itu.

“Di kampung ini ada sekitar 300 penduduk yang keluar dan masuk menggunakan laluan ini untuk ke Rembau atau Seremban. Keadaan pokok ini membimbangkan kami lebih-lebih lagi ketika ini angin kerap bertiup kencang.

“Kami harap pihak bertanggungjawab dapat menebang pokok sebesar tiga pemeluk orang dewasa ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutama membabitkan kehilangan nyawa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kampung itu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd. Raziff Mansor, 49, berkata, masalah berkenaan sudah dalam pengetahuan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Sebagai penduduk, kami bimbang sebab hari-hari gunakan jalan ini. Sentiasa ada ranting dan dahan jatuh ke atas jalan. Kami tidak mahu kejadian buruk berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN