LIPIS: Kira-kira 200 penduduk termasuk pengusaha ternakan dan pekerja ladang memohon kerajaan menaik taraf jalan raya di Kampung Gemuncur di sini berikutan kerap ditenggelami air sedalam tiga meter ketika musim tengkujuh.
Rungutan penduduk terbabit mempunyai asas kukuh kerana sejak seminggu lalu, laluan berkenaan ditenggelami air yang melimpah daripada sebatang anak Sungai Jelai iaitu Sungai Bunuh ketika hujan lebat selama beberapa hari ini.
Laluan yang ditenggelami air sepanjang 150 meter merupakan kawasan yang rendah menyebabkan air Sungai Bunuh melimpah ketika hujan lebat dan menyukarkan penduduk keluar berbelanja ke Kampung Mela yang terletak di seberang Sungai Jelai termasuk bandar Kuala Lipis dan Jerantut.
Lebih membimbangkan penduduk, terdapat lubang besar di laluan berkenaan berikutan sebuah pembetung sudah pecah akibat banjir dan tidak boleh dilalui kenderaan selepas air surut nanti.
Kalangan penduduk yang ingin berbelanja di kedai runcit Kampung Mela dan bandar terdekat terpaksa menggunakan bot gentian kaca untuk melalui kawasan itu dan kemudiannya menyeberangi Jambatan Gemuncur sebelum menaiki kenderaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penduduk Kampung Gemuncur, Roslan Idris, 60, berkata, laluan berkenaan begitu rendah dan mudah ditenggelami air Sungai Bunuh ketika musim tengkujuh.
“Ini ditambah pula paras air Sungai Jelai yang naik menyebabkan air Sungai Bunuh ‘termenung’ (tidak mengalir) sehingga laluan ini tenggelam dan tidak dapat dilalui.
“Penduduk di sini sudah sinonim dengan keadaan ini, tetapi kita tidak mahu lagi berdepan kesukaran ini sambil berharap pihak berwajib menaik taraf laluan ini,” katanya di Kampung Gemuncur di sini semalam.
Seorang warga emas, Idris Bakar, 70, berkata, dia serta penduduk berharap kerajaan segera menaik taraf kemudahan di situ sekurang-kurangnya paras laluan ditinggikan untuk mengelakkan limpahan air anak sungai.
“Ketika banjir berlaku, kami sukar keluar berbelanja di bandar kerana tidak boleh dilalui kenderaan, jika terdesak, terpaksa menggunakan bot gentian kaca melalui kawasan yang ditenggelami air,” katanya.
Cerita Idris lagi, kebanyakan penduduk di situ berstatus warga emas dan bukan lagi golongan muda, jadi kerajaan perlu menaik taraf jalan untuk kemudahan mereka keluar berbelanja dan juga mendapatkan rawatan perubatan di hospital luar.
Zulkafli Harun, 61, pula berkata, jalan tersebut lebih cepat ditenggelami air yang masuk melalui anak Sungai Bunuh ditambah air yang mengalir dari kawasan daratan (kampung) ketika hujan lebat.
“Saya berharap pihak berwajib dapat memasang pembetung yang lebih besar dan meninggikan laluan ini yang cuma anggaran sepanjang 150 meter sahaja bagi mengelakkan banjir berulang,” katanya.
Dia berkata, jika kawasan laluan masih ditenggelami banjir, kenderaan seperti lori kecil yang membawa hasil sawit dan getah mungkin terkandas dan boleh menjejaskan pendapatan penduduk.
Penternak ikan sangkar, Johari Abu Bakar, 50, berkata, dia juga berdepan kesukaran untuk melihat ternakannya di Sungai Jelai kerana motosikalnya terkandas di laluan tersebut.
“Sudah tujuh hari ternakan saya terbiar dan kemungkinan tidak dapat tangkap serta dijual sedangkan ramai tempahan daripada pelanggan luar,” katanya.
Ujarnya, harapan kepada kerajaan supaya membaikpulih kemudahan laluan itu bagi memudahkan pengusaha di situ memantau ternakan ikan di sungai termasuk kemudahan pelanggan datang membeli. – UTUSAN