KUANTAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang baharu bagi penggal ke-15.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengusulkan Mohd. Sharkar dipilih dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak.
Mohd. Sharkar menggantikan Yang Dipertua DUN sebelum ini, Datuk Seri Ishak Muhammad.
ADUN Bilut, Lee Chin Chen pula dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN baharu bagi menggantikan bekas ADUN Jenderak, Datuk Seri Mohamed Jaafar.
17 ADUN pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) tidak membantah dan tidak mencalonkan nama wakil rakyat gabungan tersebut untuk dua jawatan berkenaan.
Wan Rosdy memaklumkan Mohd. Sharkar mampu menggalas tanggungjawab dan menguruskan perjalanan DUN dengan baik dan penuh dedikasi seperti mana dilakukan Yang Dipertua pada penggal-penggal sebelum ini.
“Saya dengan rasa sukacita dan berbesar hati juga merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada bekas Yang Dipertua dan bekas Timbalan Yang Dipertua DUN atas segala jasa dan sumbangan besar menguruskan perjalanan dewan yang mulia ini dengan penuh bijaksana, adil dan saksama.
“Sesungguhnya budi dan jasa Datuk Seri Ishak dan Datuk Seri Mohamed akan sentiasa dikenang dan dijadikan tauladan kepada kita semua. Insya-Allah,” katanya.
Wan Rosdy dalam ucapannya juga menaruh keyakinan bahawa Chin Chen berupaya melaksanakan tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN dengan baik dan cemerlang. – UTUSAN