MBSA akui bonggol perlu penambahbaikan - Utusan Malaysia

MBSA akui bonggol perlu penambahbaikan

Bonggol Persiaran Tun Arshad Ayub
KONTRAKTOR MBSA sedang melakukan kerja-kerja penambahbaikan bonggol lintasan pejalan kaki dekat Persiaran Tun Arshad Ayub berhampiran Unisel di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akui bonggol yang dibina dekat Persiaran Tun Arshad Ayub berhampiran Universiti Selangor di Seksyen 7 di sini memerlukan penambahbaikan selepas beberapa insiden kereta ‘terbang’ apabila melaluinya.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam satu kenyataan memaklumkan, bonggol berkenaan memerlukan penambahan seperti lampu kecemasan atau amaran, garisan pemutus kelajuan dan melandaikan kadar kecerunan.

“Serahan tapak kepada pihak MBSA oleh pihak kontraktor akan dilakukan sepenuhnya dengan anggaran tempoh 14 hari waktu bekerja.

“Justeru, pihak MBSA juga akan melengkapkan segala aspek keselamatan untuk membolehkan lintasan pejalan kaki ini dapat berfungsi dengan baik dan selamat,” katanya.

Bagaimanapun, MBSA turut menasihatkan pengguna jalan raya dari arah Bulatan Bestari, Seksyen 2 yang menuju ke arah Persiaran Tun Arshad Ayub agar berhati-hati dan memperlahankan kenderaan ketika menggunakan jalan berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, MBSA turut memaklumkan pembinaan jejantas berhampiran kawasan Unisel Kampus Shah Alam itu tidak sesuai kerana akan melibatkan pelbagai pihak untuk memindahkan kelengkapan utiliti di sana.

Menurutnya, cadangan itu bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan dengan segera berikutan penularan wabak Covid-19 sejak tahun 2020 sehingga pertengahan tahun 2022.

“Pada masa sama, MBSA telah membuat semula kajian dan mendapati pembinaan jejantas tidak sesuai disebabkan terdapat kabel utiliti di jalan berkenaan yang membabitkan banyak syarikat dan memerlukan kos yang besar.

“Alternatif terbaik dan praktikal bagi menyelesaikan perkara ini adalah membina lintasan pejalan kaki,” jelasnya.

Tambahnya pembinaan lintasan pejalan kaki itu adalah untuk memberi kemudahan dari segi keselamatan kepada pejalan kaki, khususnya pelajar UNISEL untuk menyeberang jalan di Persiaran Tun Arshad Ayub.

Semalam, tular video klip yang memaparkan kenderaan yang melambung ketika melalui bonggol tersebut.

Penduduk sekitar yang ditemui mendakwa bonggol berkenaan terlalu tinggi dan rata-rata pengguna jalan raya tidak menyedarinya disebabkan laluan menuruni bukit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya