HULU SELANGOR: Mayat seorang lelaki dewasa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian tanah runtuh di tapak perkemahan Fathers’s Organic Farm (FoF) di Jalan Batang Kali-Genting, pagi ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan mayat mangsa ke-26 itu ditemukan pada 11.16 pagi tadi di Sektor B (Riverside) tapak perkemahan berkenaan.
“Kemas kini setakat pukul 11.16 pagi, pasukan SAR Operasi Tanah Runtuh Jalan Batang Kali – Genting Highlands telah berjaya menemukan seorang lagi mangsa iaitu lelaki dewasa di sektor C.
“Ini menjadikan jumlah mangsa korban tanah runtuh yang berjaya ditemui adalah sebanyak 26 orang,” katanya.
Tambahnya, operasi SAR pada hari keenam ini masih diteruskan lagi bagi mencari baki tujuh lagi mangsa yang masih hilang.
Semalam media melaporkan mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemukan pasukan SAR pada pukul 10.49 malam di sektor sama selepas tiada sebarang penemuan selama dua hari.
Jumaat lalu, media melaporkan tragedi tanah runtuh melibatkan tapak perkemahan FOF melibatkan 94 mangsa sekitar pukul 2.42 pagi. – UTUSAN