Mawi ajak penonton belajar jawi

Mawi ajak penonton belajar jawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bagi mengangkat martabat tulisan jawi, Astro Oasis memperkenalkan program Mawi Jawi untuk menggalakkan penonton mendalami penulisan itu supaya tidak dilupakan.

Program berkonsepkan santai terbitan MWE Sdn. Bhd. itu menampilkan barisan selebriti, pempengaruh dan pendakwah selebriti menerusi pelbagai permainan menggunakan tulisan jawi sebagai medium perantara.

Menurut Mawi, idea penerbitan program itu bermula daripada segmen Mawi Jawi yang diperkenalkan radio Zayan.

“Tulisan jawi sebenarnya masih hidup, cuma kita bimbang ia dilupakan masyarakat. Program ini menguji tahap pengetahuan setiap peserta, pada masa sama memartabatkan tulisan jawi dengan menggalakkan penonton mendalaminya dengan cara lebih menyeronokkan,” katanya.

Program yang bersiaran pada setiap Khamis bermula esok itu dihoskan Mawi dan Anas Tahir serta menampilkan selebriti seperti gandingan suami isteri, Amar Baharin dan Amyra Rosli, Fara Fauzana, Yatt Hamzah, Anita Baharom serta pendakwah selebriti, PU Amin.

Mawi Jawi menampilkan tiga tetamu jemputan setiap minggu yang diwakili selebriti dan personaliti terkenal mengikut persamaan karier masing-masing sebagai peserta.

Menerusi program ini, setiap peserta akan diuji ilmu pengetahuan tentang tulisan jawi menerusi teka silang kata serta cari perkataan tersembunyi.

Lebih menarik, program ini menampilkan episod khas Geng Romantis bersama Mawi yang ditemani isterinya, Ekin sebagai pengacara dan pasangan peserta suami isteri lain.

Peserta yang mendapat markah tertinggi pada akhir program akan memenangi pakej menunaikan umrah.

Bagi memastikan tulisan jawi yang digunakan adalah tepat sepanjang bersiaran, pihak produksi mendapatkan kepakaran guru jawi dari Sekolah Rendah Agama Taman Medan, Petaling Jaya, Kamal Abdul Rahman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN