Maszlee Malik paling layak Menteri Pendidikan - Anuar Ahmad

Maszlee Malik paling layak Menteri Pendidikan – Anuar Ahmad

MASZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dilihat individu paling layak sebagai calon untuk menerajui kementerian itu demi pemulihan pendidikan negara.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, Maszlee yang tewas mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dilihat mempunyai pengalaman sekali gus diyakini mampu mengambil tindakan segera kepada usaha pemulihan pendidikan.

Jika calon lain, kata beliau, tentunya perlu lebih masa untuk belajar dan memahami keadaan pendidikan negara, sedangkan murid-murid negara ini sudah tidak banyak masa.

Beliau memberitahu, pada 2019, Maszlee ketika memimpin KPM telah pun menyediakan Model Baharu Pendidikan untuk negara yang dibangunkan sekumpulan pakar pendidikan, para guru, ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan.

“Maksudnya jika dilantik Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, dengan segera pelaksanaan reformasi pendidikan dapat dilaksanakan menggunakan Model Baharu Pendidikan Negara yang telah siap sepenuhnya.

“Jika calon lain, mereka perlukan masa untuk menyediakan dokumen dan pelan baharu. Mungkin ambil masa berbulan atau bertahun untuk melihat usaha pembangunan pendidikan bermula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata, ketika ini, murid-murid sangat memerlukan pemulihan pendidikan akibat sistem pendidikan negara huru-hara sejak pandemik melanda dan ramai murid keciciran dan semakin merosot penguasaan pembelajaran.

Keadaan ini memerlukan pemulihan segera dan jika dibiarkan keciciran pembelajaran berpanjangan, jurang pencapaian pendidikan murid-murid akan semakin melebar.

“Akhirnya, dalam jangka panjang jurang ekonomi rakyat juga akan ikut membesar. Sebab itu kita tak banyak masa.

“Saya yakin dengan pengalaman yang ada, beliau dapat mengambil tindakan segera kepada usaha pemulihan pendidikan. Jika calon lain, tentunya perlu lebih masa untuk belajar dan memahami keadaan pendidikan negara. Sedangkan murid-murid kita sudah tidak banyak masa,” katanya.

Justeru, katanya, pelantikan Maszlee sebagai senator akan lebih memberikan beliau peluang untuk fokus sepenuhnya kepada isu pendidikan dan bukan berpolitik.

Katanya, ini satu hikmah yang besar untuk memastikan Pemulihan Pendidikan Negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Pada masa sama, Anuar berkata, rata-rata warga pendidik dan ibu bapa mengharapkan Dr Maszlee kembali memimpin mereka sebagai Menteri Pendidikan sekali gus membawa maksud beliau mendapat kepercayaan majoriti rakyat.

“Guru-guru adalah barisan hadapan dan tulang belakang kejayaan sistem pendidikan negara. Sokongan kuat dari warga pendidik kepada Maszlee akan memperkukuhkan lagi usaha beliau untuk menjayakan pendidikan negara.

“Ini adalah pandangan peribadi saya sebagai pemerhati pendidikan negara. Setiap orang tentunya mempunyai pandangan masing-masing. Apa juga pandangan yang kita berikan, itu hanyalah sekadar pandangan sahaja,” katanya.

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya